Gerakan serah senarai calon tandingi 45 kerusi

0
5

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan menyerahkan senarai calon mereka yang bakal bertanding di 45 kerusi kepada Perdana Menter Datuk Seri najib Razak hari ini sekaligus membuktikan parti itu telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, partinya akan menampilkan 60 peratus kalangan calon muka baru untuk bertanding di 45 kerusi itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kepada empat ke lima kerusi dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain termasuk MCA.

“Pada pilihan raya umum lalu, kami bertanding 45 kerusi meliputi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi pada hari ini kami usulkan kepada Perdana Menteri senarai calon berpotensi.

“Lebih 60 peratus muka baharu menggabungkan Melayu, India serta Cina yang telah bertahun-tahun melakukan kerja di kawasan masing-masing. Jadi, kami yakin akan menampilkan keputusan lebih baik pada PRU14,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Menara PGRM di sini hari ini.

Terdahulu, Najib dan pemimpin Gerakan mengadakan pertemuan tertutup kira-kira selama sejam bagi membincangkan isu-isu berkaitan PRU14.

Najib turut menyampaikan amanat khas kepada kepemimpinan serta jentera Gerakan dan melawat bilik operasi pilihan raya parti tersebut.

Mah memberitahu, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri meminta parti berkenaan berada dalam situasi bersiap siaga dan berusaha bersungguh-sungguh menghadapi PRU14 tahun ini.

Dalam pada itu, Mah turut menzahirkan keyakinan parti tersebut bakal mencatatkan keputusan lebih baik di Pulau Pinang kerana pelbagai isu di negeri itu termasuk projek terowong dasar laut

“Pada pilihan raya umum lalu, DAP bertanding 96 DUN di Pulau Pinang dan menang kesemuanya, hari ini mereka menjadi semakin bongkak. Kami yakin akan buat lebih baik,” jelas
beliau.

Untuk rekod, pada PRU13 lalu Gerakan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parti itu kini menyandang dua kerusi Parlimen, iaitu Simpang Renggam dan Teluk Intan, yang dimenangi menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK).

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini