Zahid sindir Tun M calon PM terbaik

0
27

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyindir keputusan Pakatan Harapan (PH) yang memilih Tun Dr Mahahtir Mohamad sebagai calon perdana menteri adalah “tepat” jika mereka menang pilihan raya akan datang.

Malah beliau yang menyifatkan Pengerusi PPBM itu sebagai calon kitar semula, dan didakwa akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan terhadap negara sepanjang memerintah negara 22 tahun dahulu.

“Resolusi yang dibuat Pakatan Harapan dalam perhimpunan mereka adalah resolusi yang tepat, cukup baik, dan kena pada tempatnya sebab tokoh itu adalah tokoh yang cukup berjasa kepada negara selama 22 tahun.

“Insya-Allah kalau beliau diberi tempat semula, maka kesalahan-kesalahan yang terlebih dahulu akan diulangi oleh beliau.

“Itu adalah satu kitar-semula yang memang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain yang lebih layak dalam Pakatan Harapan selain tokoh yang cukup berjasa kepada negara itu untuk melakukan kerosakan dan kesalahan kepada negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah hari ini, yang dianjurkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Ahad lalu, PH mengesahkan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan akan bergandingan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

PH juga akan mengusahakan pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja mereka menang dalam pilihan raya dan akan mengangkatnya sebagai perdana menteri seterusnya.

Namun difahamkan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi di Selangor, yang menyifatkan bahawa individu yang layak memegang jawatan itu perlu datangnya dari PKR.

Perkara itu dinyatakan Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad yang turut membantah pengumuman tersebut.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin juga dalam satu kenyataan meluahkan rasa kecewanya dengan pengumuman berkenaan, mengaitkan ia dengan ketidakmampuan pembangkang menamakan seseorang yang layak selepas 20 tahun berjuang.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini