Tun M sebagai PM ‘sementara’ akibatkan ketidakstabilan

0
27

JELEBU: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin percaya pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada pilihan raya umum akan datang hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik.

Khairy berkata, masyarakat dan pelabur luar tidak mengetahui selama mana Pengerusi PPBM itu akan memegang jawatan nombor satu negara, memandangkan sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan beliau akan memegang jawatan itu untuk sementara.

“Terdapat usaha daripada pembangkang untuk memohon pengampunan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang sedang menjalani hukuman penjara) untuk dibebaskan secepat mungkin untuk dijadikan sebagai perdana menteri.

“Saya dengar tadi mereka (pakatan pembangkang) telah umumkan calon perdana menteri dan seperti yang dijangkakan Tun Mahathir dan timbalannya Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail).

“Ini akan menimbulkan pergolakan dalam parti dan ini juga akan memberi ketidakyakinan dalam kalangan pelabur (iaitu) selama mana Tun M akan menjadi perdana menteri, dan bila Anwar akan mengambil alih sebagai perdana menteri.

“Kalau saya jadi pelabur, saya akan berfikir dua tiga kali sebelum membuat pelaburan besar sebab tak tahu apakah corak pentadbiran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Jelebu, semalam.

Tambah Khairy, kebanyakan pelabur memilih untuk melabur di Malaysia kerana kestabilan politik yang dimiliki negara hasil pentadbiran BN kerana tidak perlu risau akan adanya rampasan kuasa dan kacau bilau.

“Kalau kita imbas peristiwa pada 1998, pergolakan negara berlaku disebabkan antara Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) dan Anwar (ketika itu dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir).

“Hari ini mungkin mereka bersahabat kerana mereka ada musuh yang sama…pergolakan 1998 tak mungkin dilupakan begitu sahaja…ingat senang ke Dr Mahathir nak bagi (jawatan perdana menteri) selepas enam bulan atau setahun (pegang jawatan itu)…ingat senang Anwar nak sabar nak tunggu untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata janji pembangkang seperti untuk memberikan tol dan pendidikan percuma hanya sedap di halwa telinga namun implikasinya akan menyebabkan negara menuju ke arah muflis.

“Kalau pembangkang ambil alih negara dengan memberikan segala-galanya percuma, akan runtuhlah ekonomi negara,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini