Polis mungkin panggil Isa Samad lagi

0
7

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil semula bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad, sekiranya perlu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pemindahan hak milik tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Mohd. Isa memberi kerjasama baik kepada pihak polis dalam melengkapkan siasatan kes transaksi pemindahan hak milik tanah Felda yang diragui.

“Saya mengesahkan proses rakaman percakapan terhadap Tan Sri Isa selesai dilakukan pada pukul 4 petang tadi (semalam).

“Sebarang keperluan untuk memanggilnya semula dalam melengkapkan siasatan akan diteliti oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK),” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Semalam Isa hadir di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara 238, Jalan Tun Razak pada jam 10.30 pagi.

Isa adalah individu ke sembilan yang diambil keterangan dan disoal siasat lebih 4 jam.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Isa dipanggil berhubung penjualan keempat-empat lot tanah di Jalan Semarak bernilai RM270 juta yang kini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta.

Untuk rekod, Felda sebelum ini telah membuat satu laporan polis pada 12 Disember lalu dan akan mengambil tindakan sivil kepada syarikat swasta berkenaan kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa.

Felda dilaporkan, berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini