369 suspek Daesh ditahan sejak 2013

0
2

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan 369 suspek pengganas termasuk 87 warga asing, yang dipercayai militan Daesh untuk tempoh empat tahun mulai 2013 hingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata jumlah itu turut membabitkan 19 perancang untuk melakukan keganasan tetapi dapat ditumpaskan.

“Selama beberapa tahun, pihak keselamatan sudah menjalankan operasi bagi menangani dan membanteras keganasan daripada berlaku di negara ini.

“Kita bersyukur kerana tiada kematian berlaku dalam serangan bom di kelab malam Movida, Puchong pada Jun 2016,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara sempena Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu menjadi peringatan mengenai hakikat keganasan moden, di mana konflik yang berlaku beribu-ribu batu jauhnya boleh membawa kesan kepada keselamatan dalam negara.

“Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula pendekatan semasa dalam menangani keganasan kerana Daesh sentiasa merekrut ahli baru di seluruh dunia melalui media sosial, kebanyakannya menyasarkan golongan muda terutama wanita yang masih tercari-cari hala tuju dalam kehidupan mereka,” katanya.

Tambah beliau, mereka menawarkan satu bentuk pelepasan dengan mencemarkan minda melalui pandangan dunia dan ideologi yang sesat.

“Pendekatan secara keras, yang mungkin dilihat berkesan untuk jangka masa pendek, tidak dapat menangani punca isu keganasan, seperti mana perang terhadap penjenayah dan pengganas kerana ini lebih kepada hati dan minda, perang terhadap perbezaan ideologi.

“Justeru, Malaysia mengesyorkan idea untuk menawarkan terjemahan keagamaan yang sederhana terutama dalam menangani IS sebagai langkah proaktif untuk menghapuskan ekstremisme,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini