KUALA LUMPUR: Malaysia bukan negara pelindung kepada pelarian sebaliknya kumpulan pelarian yang ada di sini diterima atas dasar ehsan kerajaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menyatakan Malaysia ketika ini menerima kira-kira 62,000 pelarian dari etnik Rohingya yang berlindung di sini sejak beberapa tahun lalu.

“Malaysia adalah negara kedua terbesar dari segi penerima etnik itu selepas Arab Saudi. Indonesia juga lebih kecil. Kita ada cuba buat program bersama kerana mereka ketika ini diletakkan dibawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Soal penghantaran pulang (Rohingya) atau tidak pada waktu sesuai, mungkin semua kebimbangan yang dibangkitkan akan diambil kira,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Khalid Abdul Samad (Parti Amanah Negara-Shah Alam) membangkitkan kebimbangan sama ada etnik tertindas itu bakal menerima status kewarganegaraan dari Myanmar jika mereka dihantar pulang.

Ia selepas Kaunselor Negara itu, Aung San Suu Kyi mahukan mereka supaya pulang.Reezal menjelaskan, apabila Suu Kyi dan kerajaannya sudah menerima baik laporan Ketua Jawatankuasa Penasihat Untuk Wilayah Rakhine, Kopi Annan, salah satu yang ditekankan didalamnya adalah berkait soal kerakyatan.

“Itu salah satu laporan yang diterima oleh kerajaan Myanmar, (dalam laporan itu) banyak menyentuh soal pemulihan ekonomi di Rakhine dan salah satunya juga adalah soal kerakyatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Reezal menjelaskan apa yang berlaku di wilayah Rakhine ketika ini bukanlah isu agama, sebaliknya berkait rapat dengan penindasan etnik.

“Saya mahu ulang isu Rohihgya ini bukan isu agama tapi isu etnik. Dulu saya tidak dapat membuat keyakinan, tapi bila saya pergi di Yangon, di bandar Yangon saja ada 27 masjid dan 10 etnik teratas di sana juga adalah Islam. Ini bukan isu Islamophobia.

“Soal dia tidak mengambil tindakan yang cukup (untuk selesaikan isu penindasan Rohingya) itu memang dia salah. Tapi soal kerajaan dia menentang Islam untuk dikaitkan dengan isu Rohingya, saya rasa kita harus bersikap adil,” katanya.

Menyentuh isu sama juga, Reezal menjelaskan Malaysia tidak sampai ke tahap untuk mencadangkan satu pakatan ketenteraan dibentuk bagi mencari resolusi penyelesaian terhadap penindasan etnik di wilayah Rakhine.

“Kita tidak sampai ke tahap itu. Kandang-kadang kita kena nilai sebelum membuat sesuatu tindakan. Biasanya dalam operasi ketenteraan iniia diputuskaan oleh Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini