“DOAKAN anak kucing saya boleh berjalan seperti kucing normal yang lain. Usaha saya setakat ini adalah mengurut kakinya setiap hari.” kata, Nurul Atikah Mat Ali, 27, pemilik anak kucing jantan berusia sebulan berwarna kelabu putih yang cacat dua kaki depan sejak lahir.

Nurul Atikah yang bekerja sebagai pembantu tadika berkata, dia sengaja berkongsi video anak kucing yang belum diberi nama itu dalam satu kumpulan di Facebook (FB), semalam.

“InsyaAllah, saya dengar nasihat kawan-kawan di FB yang mempunyai pengalaman sama dengan saya apabila kucing mereka yang mempunyai masalah sama akhirnya boleh berjalan.

“Lagipun dia masih kecil, mungkin lama-lama akan ‘okay’ sebab kasihan melihatnya yang agak aktif tetapi tidak boleh bermain dengan tiga lagi adik beradiknya yang lain,” katanya yang menetap di Felda Maokil, Segamat, Johor.

Video yang dikongsi Nurul Atikah itu setakat ini ditonton lebih 39,000 kali dan dikongsi 262 kali termasuk banyak komen positif yang berkongsi panduan mengenai penjagaan kucing yang cacat.

Dia dan keluarganya mempunyai lapan lagi kucing termasuk seekor ibu kucing yang baru melahirkan tiga anak.

“Pertama kali saya ada kucing yang istimewa ini dan dia satu-satunya yang cacat, manakala tiga lagi adik beradiknya normal.

“Semasa lahir (17 Oktober 2017), saya ingatkan tangan dia memang terbengkok macam itu, tetapi bila dah hampir sebulan usianya baru saya sedar yang dia cacat,” katanya.

Anak kucing itu katanya memerlukan lebih perhatian dan ketika mengiau kerana lapar, Nurul Atikah akan meletakkannya dalam sangkar bersama ibu untuk disusukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:30 PM

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini