KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemui mati, dipercayai akibat kehilangan banyak darah selepas melahirkan bayi lelaki di tandas sebuah hotel di Jalan Pantai, di sini, hari ini.

Mayat wanita berusia 24 tahun itu ditemui pekerja hotel terbabit kira-kira jam 7.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik di tingkat tiga hotel berkenaan.

“Mangsa dikatakan berada di hotel itu sejak pagi semalam. Sebaik polis tiba, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan keadaan tandas di bilik penginapannya juga berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Chandra berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk tindakan lanjut dan akan dibedah siasat selepas keluarganya berjaya dikesan.

“Bayi lelaki cukup sifat yang selamat dilahirkan dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris atau keluarga mangsa tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Inspektor Mustapha Rambli di talian 0198145090.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini