KUALA LUMPUR: Pujian diberikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bakal menjadi azimat buat pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem menjelang pusingan pertama Terbuka China esok.

Menurut V Shem yang bergandingan bersama Teo Ee Yi, Norza sentiasa memberi mereka semangat dan motivasi walaupun ia adalah penampilan pertama mereka pada Terbuka Perancis dan Bitburger bulan lalu.

“Kami harap dengan kepercayaan itu, kami mampu membalasnya dengan keputusan yang bagus di Terbuka China,” kata V Shem ketika dihubungi hari ini.

Minggu lalu, Norza menghamburkan pujian kepada dua beregu lelaki negara, V Shem-Ee Yi dan Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong walaupun kedua-duanya baharu digandingkan namun mampu menunjukkan permainan mantap terutama pada Terbuka Perancis.

Ditanya mengenai gandingan bersama Ee Yi, V Shem berkata, mereka berdua masih lagi perlu memperbaiki aspek kombinasi dalam gelanggang.

“Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk memberi tentangan kepada wakil tuan rumah (Li Junhui-Liu Yuchen) dalam aksi pusingan pertama esok,” kata V Shem yang juga pemain kelahiran Kuala Lumpur.

PEMAIN beregu negara, Goh V Shem (kanan) dan Teo Ee Yi masih memperbaiki aspek kombinasi dalam gelanggang. – Foto Luqman Hakim Zubir

Junhui-Yuchen yang diletakkan sebagai pilihan keempat, bukan mudah untuk dijinakkan dan V Shem sudah merasai kesusahan berkenaan ketika bergandingan bersama Wee Kiong apabila mereka terikat dengan rekod 3-3 selepas enam pertemuan sejak 2016.

Sementara itu, Yew Sin-Wee Kiong akan memulakan kempen di Pusat Sukan Olimpik Haixia, Fuzhou menentang pasangan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard.

Membawa cabaran negara dalam acara perseorangan ialah Datuk Lee Chong Wei yang akan menentang Hsu Jen Hao dari Taiwan, manakala Zulfadli Zulkiffli pula menarik diri akibat kecederaan buku lali.

Bagi acara beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei akan menentang Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han dari Taiwan, manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean pula akan menentang Lin Xiao Min-Wu Fang Chien (Taiwan).

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini