KUALA LUMPUR: Syarikat hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan wang zakat sebanyak RM420,000 untuk diagihkan ke masyarakat Islam di lokasi projek pembangunannya hingga hujung tahun ini.

Pengerusi UDA, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, berkata UDA Outreach Program -Enriching Life adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporatnya tahun ini bagi projek di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Program ini bertujuan mendekati masyarakat setempat yang kurang bernasib baik sekali gus menyalurkan peruntukan zakat bagi pembangunan Islam dengan setiap pertubuhan menerima agihan zakat RM10,000.

“Pengagihan zakat ini adalah kepada enam institusi pengajian Islam, surau dan sekolah agama sekitar Wangsa Maju dan Titiwangsa yang diharap mengurangkan beban pengurusan mereka selepas menyempurnakan agihan zakat sama di Pulau Pinang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan zakat RM10,000 kepada Rumah Penyayang Nur Iman Taman Ibu Kota, Setapak yang diwakili pengasasnya, Sharimah Ali, 47.

Katanya, selain itu UDA juga menyampaikan zakatnya di Bandar Tun Hussein Onn menerusi Projek Perumahan Lake Vista, Projek Perumahan Scarlet, Evoke Residence dan Crescent Dew (Pulau Pinang); projek perumahan Plumeria Avenue, Neuvo dan Angsana Mall (Johor) dan Pusat Komersial Coast Kemaman dekat Terengganu.

Dr Mohd Shafei berkata, pihaknya juga komited merangka beberapa perancangan strategik dan misi transformasi dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia menjelang 2020.

“Kita mahu masyarakat setempat menerima manfaatnya sekali gus mewujudkan keseimbangan antara menjana keuntungan optimum dan berkongsi nikmat dengan golongan memerlukan.

“Kita juga mahu meneruskan program seumpama ini dari masa ke masa dengan pendekatan berbeza supaya memberikan impak dan matlamat yang dirangka dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, Sharimah berkata, pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan UDA membantu pusat jagaan yang menempatkan 40 anak asnaf berusia antara lima dan 15 tahun.

“Kita memerlukan kira-kira RM15,000 lagi untuk membaik pulih rumah dan menaik taraf sistem keselamatan supaya mematuhi piawaian yang digariskan Pasukan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini