KUALA LUMPUR: Ketika khabar angin kuat mengatakan pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, bertunang malam tadi, mereka berjanji untuk mengadakan sidang media pada 23 November ini, sekembali dari Tanah Suci.

Bagaimanapun, menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online sebentar tadi, wakil kedua-duanya tidak menjelaskan secara terperinci mengenai butiran lanjut sidang media terbabit.

Namun, kenyataan itu menyebut, dua pelakon yang terbang bersama -sama ke Makkah, hari ini, bagi mengerjakan umrah akan tampil memberi penjelasan berhubung isu yang hanya dinyatakan sebagai ‘susulan perkara ini’.

“Berkaitan perkara ini, pihak Fattah Amin dan Nur Fazura akan mengadakan satu sidang media pada 23 November 2017. Lokasi serta masa acara itu akan dikongsikan dalam waktu terdekat,” kata wakil pengurusan artis terbabit.

Pada masa sama, Fattah dan Fazura turut memohon maaf dan berharap semua rakan media serta peminat mendoakan urusan mereka di Tanah Suci dipermudahkan Allah.

“Dengan penuh rasa rendah diri, Fattah dan Fazura memohon seribu kemaafan dan memohon doa wartawan serta peminat semoga umrah mereka berjalan lancar. Insya-Allah,” katanya lagi.

Wakil berkenaan turut mengesahkan pasangan itu sudah berangkat ke Makkah bersama ahli keluarga masing-masing dan wakil pengurusan.

Sejak awal pagi tadi, netizen heboh memperkatakan mengenai majlis yang berlangsung di kediaman nenek Fazura di Petaling Jaya, Selangor.

Menerusi tinjauan sebuah media, kira-kira jam 8 malam tadi, wartawan menerima bayangan kononnya sebuah majlis akan dilangsungkan di situ dan mendapati khemah putih sedia menanti tetamu.

Walaupun ada sumber mengatakan ia sekadar majlis doa selamat sebelum Fazura mengerjakan umrah hari ini, hanya tetamu yang mendapat jemputan dibenarkan memasuki kawasan rumah.

Susulan berita itu, di laman sosial Instagram Fattah pula, ramai peminat mengucapkan tahniah atas pertunangan dan tidak kurang yang membuat andaian mereka menyegerakan urusan pernikahan bagi memudahkan urusan umrah.

Menerusi laporan sama, sumber lain memaklumkan pasangan itu bertunang dalam majlis berkenaan, manakala pernikahan bakal diadakan ketika kedua-duanya berada di Makkah.

Sebelum ini, tersebar khabar angin Fattah, 27, dan Fazura, 34, memilih tarikh 13 November untuk bertunang, namun apabila tiba tarikh itu, tiada pengumuman dibuat.

Pasangan ini ditemukan dalam drama rantaian, Hero Seorang Cinderella dan sejak itu, tercetus gosip mereka hangat menjalinkan hubungan cinta.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini