HARARE: Anggota tentera dikerah berkawal di ibu negara Zimbabwe di sini, selain dilaporkan sudah menguasai stesen penyiaran tempatan selepas parti pimpinan Presiden Robert Mugabe, ZANU-PF menuduh ketua tentera merancang pemberontakan.

Insiden terbaru di Harare itu turut mencetuskan spekulasi berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ia berlaku 24 jam selepas ketua tentera, Jeneral Constantino Chiwenga, mengancam campur tangan untuk mengakhiri usaha menyingkirkan sekutunya dalam parti ZANU-PF.

Sementara itu, wartawan Reuters turut menyaksikan beberapa pengangkut kereta perisai di beberapa jalan utama di sini, sambil anggota tentera mengarahkan kenderaan penduduk meneruskan perjalanan.

“Jangan cuba melakukan sesuatu yang pelik. Teruskan perjalanan,” jerit seorang anggota tentera kepada wartawan Reuters yang melalui Harare Drive.

ANGGOTA tentera mengawal di Harare. – Foto Reuters

Dua jam kemudian, tentera dilaporkan menguasai stesen penyiaran Zimbabwe, ZBC dan mengarahkan kakitangan meninggalkan bangunan itu.

“Tidak lama kemudian, tiga letupan kuat menggegarkan ibu negara Afrika Selatan,” kata saksi kepada Reuters.

Pihak tentera belum mengeluarkan kenyataan berhubung nasib Mugabe, 93, yang memerintah Zimbabwe selama 37 tahun.

Sebelum itu, Duta Zimbabwe ke Afrika Selatan, Isaac Moyo menolak dakwaan berlakunya rampasan kuasa, sebaliknya menyalahkan media sosial kerana menyebarkan maklumat palsu.

“Sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, ia hanyalah dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial,” kata Moyo. – Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini