KLUANG: Seorang lelaki tergamak memukul dan membotakkan kepala isterinya kerana mengesyaki wanita itu ada hubungan dengan lelaki lain.

Kejadian di sebuah rumah di Taman Kluang Setia di sini, disedari apabila bapa mentua mangsa mengirimkan gambar keadaan menantunya itu kepada bapa wanita terbabit yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor, pagi semalam.

Sebelum itu, mangsa sendiri menghubungi bapanya kira-kira jam 8.30 malam kelmarin, namun hanya menangis dan sekadar memaklumkan mahu pulang ke Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam, bapa mangsa berusia 63 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi menerima gambar anaknya menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar besannya.

“Lelaki itu kemudian cuba menghubungi anaknya, namun tidak berjaya. Dia mengesyaki anak perempuannya dipukul dan kepalanya dibotakkan oleh suami,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada jam 12.55 tengah hari semalam berhubung kejadian terbabit.

“Bertindak atas laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai kontraktor di Taman Kluang Setia di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun yang juga suri rumah dipukul suaminya dengan tangan pada bahagian muka dan kepala. Mangsa lebam pada bahagian muka, kepala dan kedua-dua tangan serta dibotakkan,” katanya.

Katanya, suri rumah terbabit diselamatkan oleh mentuanya yang membawa menantunya itu ke sebuah rumah lain dan memujuk supaya membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di hospital, namun mangsa enggan.

“Motif kejadian kerana suspek dipercayai mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini