COLOGNE (Jerman): Pemain gantian, Lars Stindl membantu juara dunia, Jerman memanjangkan rekod kepada 21 aksi tanpa kalah, apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-93, ketika seri 2-2 menentang Perancis, dalam aksi persahabatan antarabangsa di Cologne, pagi tadi.

Dua jaringan Alexandre Lacazette dalam aksi antarabangsa pertamanya meletakkan Perancis di landasan kemenangan dalam pertembungan dua pasukan pilihan untuk Piala Dunia, tahun depan.

PEMAIN Jerman, Ilkay Guendogan (kanan) diasak pemain Perancis, Blaise Matuidi pada aksi persahabatan antarabangsa di Cologne, awal pagi tadi. – Foto EPA-EFE

Penyerang Arsenal ini meledak di kedua-dua babak untuk memadam kelebihan jaringan Timo Werner, sebelum Stindl menjaringkan gol untuk memastikan Jerman kekal dengan rekod tanpa kalah sejak tumbang 0-2 kepada Perancis di separuh akhir Euro 2016.

Aksi pagi tadi menyaksikan kawalan keselamatan di Cologne ditingkatkan berikutan kebimbangan berulangnya tragedi serangan pada 13 November 2015 – menyebabkan 130 terkorban dan lebih 400 cedera.

PEMAIN tengah, Mesut Oezil (kanan) mengekang pemain Perancis, Kylian Mbappe pada aksi persahabatan antarabangsa di Cologne, Jerman, awal pagi tadi. – Foto EPA-FE

Jurulatih Jerman, Joachim Loew melakukan enam pertukaran pemain berbanding pasukan yang seri tanpa jaringan ketika menentang England di Wembley, Jumaat lalu.

Beliau menukar formasi 4-3-3 kepada percaturan kegemarannya, 4-2-3-1 dengan penjaga gol kedua Paris Saint-Germain (PSG), Kevin Trapp menggantikan Marc-Andre ter Stegen.

Emre Can, Niklas Suele, Marvin Plattenhardt, Toni Kroos, yang terlepas aksi menentang England serta Sami Khedira yang memakai lilitan kapten kembali disenaraikan dalam aksi kali ini.

Boss Perancis, Didier Deschamps pula meletakkan penyerang, Antoine Griezmann di bangku simpanan dan memulakan aksi dengan menurunkan Kylian Mbappe, Anthony Martial dan Lacazette – menggunakan formasi 4-3-3-.

Gandingan trio ini tampak berbisa dan Perancis meraih gol pembukaan pada minit ke-34, selepas beberapa peluang dimiliki Mbappe dan Lacazette sebelum itu gagal menemui gawang.

PEMAIN Jerman, Timo Werner (kiri) bersaing dengan pemain Perancis, Christophe Jallet perlawanan persahabatan antarabangsa di Cologne, awal pagi tadi. – Foto EPA-EFE

Gol pertama itu dihasilkan apabila hantaran bola jauh oleh pemain bek kiri Barcelona, Lucas Digne disambut pemain Manchester United, Martial yang melepasi kawalan Suele dan Trapp sebelum membuat hantaran untuk disudahkan Lacazette.

Kedudukan 1-0 kekal di babak pertama dan Loew memperkemaskan benteng Jerman dengan memasukkan Mats Hummels untuk menggantikan Antonio Ruediger.

Jerman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 apabila Mesut Ozil melakukan hantaran menarik kepada Werner yang mudah menolak masuk melepasi penjaga gol Perancis, Steve Mandanda.

Loew kemudian membawa masuk Mario Goetze ketika aksi berbaki 30 minit, – aksi antarabangsa pertamanya untuk tahun ini.

Kroos juga hampir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, pada minit ke-70 namun percubaannya terkena tiang dan Perancis kembali mendahului, seminit selepas itu.

Pertahanan Jerman membiarkan Mbappe bergerak bebas dan bola hantarannya kepada Lacazette di kawasan kotak penalti berjaya memastikan penyerang itu melepasi kawalan Trapp untuk meledak jaringan kedua.

Namun, Ozil sekali lagi memainkan peranan penting apabila hantarannya tepat kepada Goetze, sebelum membuka ruang kepada tonggak Borussia Moenchengladbach, Stindl meledak jaringan penyamaan pada masa kecederaan. – AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini