KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan lima belas sekeluarga, termasuk seorang wanita warga Bangladesh yang mendalangi sindiket pemalsuan dokumen.

Serbuan di sebuah rumah di Seri Kembangan, dekat Serdang, kira-kira jam 10.30 malam tadi hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang berada di kediaman itu, dipercayai anak kepada suspek wanita turut ditahan.

Beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu, iaitu dua set komputer, mesin pencetak, mesin pencetak kad dan mesin laminate.

Turut dirampas, katanya, 30 kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB); E-Kad dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu serta wang tunai RM6,977.

“Hasil siasatan, sindiket dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pemprosesan dokumen, sebelum diserahkan kepada pelanggan yang semuanya warga Bangladesh.

“Mereka turut mengaburi mata penguat kuasa dengan menyewa sebuah kedai telefon yang sebenarnya dijadikan lokasi untuk mendapatkan pelanggan.

“Sindiket hanya mengambil masa kira-kira dua minit untuk memproses dokumen palsu dengan 30 hingga 40 kad dapat dihasilkan dalam masa sehari,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Kompleks Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

 

Mustafar berkata, sindiket mampu meraih keuntungan antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan melalui kegiatan haram itu.

Beliau berkata, semua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(I), 55D dan 56(1A)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

156 dibaca
KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali (kiri) bersama Pengarah Imigresen Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hamidi Adam (dua, kiri) memberi penerangan mengenai sindiket pemalsuan kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan E-Kad Sementara Pekerja Asing yang didalangi warga asing ketika mengadakan sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.. – Foto BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini