KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan meminta semua pihak menghentikan kritikan ke atas skuad Harimau Malaya susulan kegagalan mereka dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Sebaliknya, Sathianathan yang pernah membimbing Harimau Malaya dari 2007 hingga 2009 meminta semua pihak memberi sokongan positif kepada Nelo Vingada dan anak buahnya kerana bimbang ‘memori hitam’ yang pernah menghantui skuad negara serta dirinya pada 2007 berulang kembali.

“Saya ada pengalaman sukar pada tahun 2007 dulu, di mana selepas pasukan negara tewas dalam Piala Asia (Malaysia tuan rumah), pemain dikritik hebat dari setiap penjuru hingga majoritinya enggan menyarung jersi negara.

“Saya yang dilantik mengambil alih pasukan terpaksa mencari dan memujuk pemain supaya menyertai pasukan. Sudah tentu skrip sama akan berulang kepada skuad Vingada dan sekiranya berlaku agak sukar untuk kita membina semula pasukan dalam tempoh terdekat.

“Jadi, saya minta penyokong jangan cepat melenting dan menghukum pasukan. Kita perlu hentikan semua ini dan beri sokongan kepada mereka selain mengharapkan program akar umbi kita membuahkan hasil dalam dua atau tiga tahun akan datang,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kritikan penyokong ke atas Vingada dan anak buahnya susulan kekalahan kepada Korea Utara 1-4 dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand sekali gus menyaksikan impian skuad Harimau Malaya mara ke pusingan akhir berkubur.

Sathianathan berkata, beliau berpendapat Vingada wajar diberi masa dan peluang untuk membentuk pasukan dengan caranya tersendiri kerana jurulatih itu baru sahaja mengambil alih tugas, Mei lalu.

Katanya, tidak adil untuk mendesak bekas jurulatih Arab Saudi, Jordan dan Iran itu meletakkan jawatan dengan mengadili perlawanan menentang 20 pasukan teratas Asia sedangkan jurulatih sebelum ini hanya menjadikan kejohanan Piala AFF sebagai penanda aras.

“Sebelum beliau (Vingada) ambil alih pun, skuad kebangsaan kita tidak pernah menang ke atas pasukan kuat seperti Korea Utara dan Lubnan.

“Lagipun, dalam tempoh 30 tahun, kita tak pernah keluar daripada senario saingan Piala AFF. Itu saja kemenangan yang kita boleh raih dengan menentang negara di rantau ini, itu pun tak konsisten macam Thailand.

“Inikan pula berdepan dua pasukan dalam kelompok 20 pasukan terbaik Asia dengan kita harapkan kemenangan. Mana boleh macam itu (desak letak jawatan). Terdapat desakan supaya senaraikan pemain bawah 23 tahun dan Vingada menyenaraikan empat hingga lima pemain tapi macam itu juga.

“Saya ingat kalau Jose Mourinho datang pun belum tentu kita boleh menang dengan Korea Utara dan Lubnan. Jadi, untuk berlaku adil, kita harus beri masa dan tunggu hingga Piala AFF tahun depan. Barulah betul dan kita lihat pencapaian Vingada di kejohanan itu,” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini