MOSCOW: Sepanyol hanya mampu seri 3-3 pada aksi persahabatan dengan tuan rumah Piala Dunia, Russia di Saint Petersburg sebentar tadi sekalipun pertahanan tengah Sergio Ramos menyempurnakan dua sepakan penalti.

Jaringan pertahanan Barcelona, Jordi Alba dan gol penalti pertama Ramos membantu pelawat menguasai namun gol pada setiap babak daripada Fedor Smolov dan Alexei Miranchuk membolehkan Russia menyamakan kedudukan.

PEMAIN Russia meraikan gol jaringan Fedor Smolov pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sepanyol di Stadium Saint Petersburg, sebentar tadi. – Foto AFP

Sekalipun pertahanan Real Madrid, Ramos meletakkan anak buah Julen Lopetegui kembali di depan, Smolov melengkapkan dua gol untuk meraih keputusan seri.

Sepanyol masih mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian Lopetegui kepada 15 perlawanan.

Juara Piala Dunia 2010 itu, masih segar daripada kemenangan 5-0 ke atas Costa Rica di Malaga Sabtu lalu, menguasai babak awal dan Alba membantu pelawat mendahului seawal minit kesembilan dengan menanduk masuk hantaran silang Marco Asensio.

Ramos menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-35 selepas pemain tengah Zenit, Daler Kuzyayev memegang bola dalam kawasan penalti.

Penyerang Krasnodar, Smolov mengurangkan defisit empat minit sebelum rehat apabila dia menerima umpanan mengelirukan daripada Miranchuk sebelum merembat melepasi David De Gea.

Pemain tengah Lokomotiv Moscow, Miranchuk menyamakan kedudukan enam minit pada babak kedua selepas merembat bola muntah berikutan percubaan Yury Zhirkov yang terkena badan Nacho.

Ramos melengkapkan dua gol antarabangsa dalam satu perlawanan selepas melakukan perkara sama menentang San Marino pada 2005 namun Smolov menyamakan kedudukan sekali lagi dengan rembatan padu dari luar kotak penalti 20 minit sebelum tamat. – AFP

PENJAGA gol Russia, Andrey Lunev mengalami kecederaan di kepala selepas berlanggar dengan pemain Sepanyol pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Saint Petersburg, sebentar tadi. – Foto Reuters

PENGAWAL keselamatan berjaya menangkap penyokong cuba mengganggu aksi persahabatan antarabangsa antara Russia menentang Sepanyol di Stadium Saint Petersburg, sebentar tadi. – Foto EPA-EFE

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini