Kuantan: Bukit Sekilau yang terletak di tengah bandar ini sememangnya terkenal kepada penduduk di ibu negeri Pahang dengan kehijauan hutannya selain pemandangan indah yang boleh dinikmati sebaik melewati beberapa jalan raya di kawasan berkenaan.

Mana tidaknya, beberapa taman perumahan dan kampung berhampiran bukit setinggi 300 meter (m) itu menjadi pilihan penduduk sebagai kawasan kediaman mereka sejak beberapa tahun lalu.

Namun, segalanya kini menjadi tanda tanya kepada ribuan penduduk di beberapa kawasan perumahan berhampiran Bukit Sekilau seperti Taman Perumahan Bukit Ubi dan Kampung Bukit Sekilau selepas bukit yang sebelum ini ‘memayungi’ kediaman mereka digondolkan secara tidak terkawal.

Malah, aktiviti penjarahan dan penggondolan Bukit Sekilau yang mula dikesan dilakukan secara aktif sejak awal tahun ini turut menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai kesan yang boleh dibawa seperti banjir dan tanah runtuh.

“Adakah kita hendak tunggu Kuantan dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh yang mengorbankan banyak nyawa baru hendak bertindak?”

Itu antara persoalan dibangkitkan penduduk Kampung Bukit Sekilau, Khamsiah Othman, 53, yang menyatakan kebimbangan dengan aktiviti penggondolan hutan Bukit Sekilau secara besar-besaran tanpa memikirkan kesan kepada penduduk setempat.

Katanya, banjir lumpur berskala kecil pernah berlaku di kawasan penempatan penduduk beberapa bulan lalu disebabkan aktiviti mengorek tanah dan menebang pokok dan ia menggusarkan penduduk di kawasan itu apabila musim tengkujuh dijangka melanda Pahang bulan depan.

“Bayangkan jika bukan musim monsun pun sudah berlaku banjir, kalau berlaku monsun kali ini dan hujan lebat selama beberapa hari, saya rasa bandar Kuantan akan terjejas disebabkan banjir lumpur.

“Lebih membimbangkan, ada penempatan penduduk hanya 20 meter dari kawasan kuari. Jika berlaku tanah runtuh saya rasa penempatan mereka juga terjejas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ironinya, kawasan penjarahan hutan berkenaan terletak membelakangi Pejabat Hutan Negeri yang mana kesan sampingan seperti banjir lumpur dan tanah runtuh turut mengancam bangunan kerajaan itu sekali gus membahayakan nyawa pekerja di situ.

Khamsiah yang menetap di Kampung Bukit Sekilau sejak kecil mendakwa, beberapa bulan lalu dia kerap mendengar bunyi letupan yang datang dari kawasan bukit berkenaan sebelum ia tidak lagi kedengaran.

Katanya, kawasan Bukit Sekilau turut terletak di kawasan diwartakan sebagai hutan simpan dan mereka mempersoalkan projek yang ingin dibangunkan di kawasan itu sebagai projek berisiko kepada penduduk.

“Penduduk kampung ini pernah menghantar petisyen bantahan mengenai penjarahan hutan Bukit Sekilau kepada pejabat Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung dan Pejabat Tanah Negeri namun tiada sebarang tindakan sehingga hari ini,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini