ALOR SETAR: Pinjaman RM1 bilion yang dibuat Kedah dengan kerajaan Pusat penting untuk membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang dianggap ‘mimpi ngeri’ bagi rakyat negeri ini, khususnya setiap kali musim perayaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pinjaman itu adalah yang kedua diambil Kedah selepas RM1.2 bilion sebelum ini bagi menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.

Beliau berkata, pinjaman dibuat kerajaan negeri penting untuk memastikan aset air negeri siap sebelum memindahkan pengurusannya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Ia akan dimanfaatkan bagi menyegerakan naik taraf lima LRA. Kerajaan negeri melihat keperluan menaik taraf lima loji itu perlu disegerakan, sebab itu kita buat pinjaman kedua RM1 bilion.

“Kita pinjam dulu sebab jika ingin menunggu kelulusan geran, ia mengambil masa panjang di mana kemungkinannya semua lima LRA ini tidak boleh dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13 di Wisma Darulaman, di sini hari ini.

Ahmad Bashah berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan lima projek baharu bekalan air luar bandar melalui peruntukan pinjaman bagi tujuan naik taraf lima LRA itu.

Lima LRA terbabit ialah Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama.

Beliau berkata, matlamat projek itu untuk menyediakan kemudahan infrastruktur mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk di Kedah terutama kawasan luar bandar.

“Saya sebelum ini juga ada membawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) melawat Loji Sungai Santap. Loji bernilai RM60 juta itu sudah mula beroperasi semalam, membekalkan air terawat ke kawasan Pokok Sena dan Pendang,” katanya.

Mengenai SPAN, beliau berkata, sebaik migrasi air dengan suruhanjaya itu dijalankan, semua masalah berkaitan isu air selepas ini akan dapat diselesaikan.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini