KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) mencatatkan untung selepas cukai berjumlah RM33 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017.

Untung sebelum cukainya ialah RM53 juta, manakala pendapatan bagi tempoh dikaji meningkat kepada RM1.7 bilion.

Syarikat dalam kenyataan hari ini berkata, Bahagian Logistik dan Pengedaran merekodkan untung sebelum cukai lebih tinggi, iaitu RM5 juta bagi tempoh sembilan bulan, berbanding RM3 juta tempoh sama tahun lalu.

Ia disokong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada perniagaan konsesi.

Sementara itu, Bahagian Pengilangan mencatatkan untung sebelum cukai lebih rendah, sebanyak RM50 juta bagi tempoh dikaji berbanding RM73 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu berkata, ia disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh kemudahan perkilangan, berikutan penutupan sementara beberapa pengeluaran pada suku kedua, sebagai persediaan memudahkan kerja pengkomersialan produk baharu.

“Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim ketiga berjumlah lima sen sesaham.

“Dividen akan dibayar pada 15 Disember 2017 kepada pemegang saham yang tersenarai pada 4 Disember 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pharmaniaga, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata meskipun tahun yang dilaporkan amat mencabar, kumpulan itu bagaimanapun berjaya mencatatkan prestasi yang memuaskan, disokong oleh sumbangan kukuh daripada perniagaan teras terutama operasi luar negara.

“Melangkah ke hadapan, didorong oleh usaha penyelidikan dan pembangunan kami, kumpulan berada di landasan untuk menawarkan produk baru ke pasaran tempatan dan luar negara bagi tahun berikutnya, dalam usaha mengukuhkan lagi potensi pendapatan kami.

“Bagi tempoh jangka panjang, prospek kekal positif bagi kumpulan,” katanya.

Menuju ke hadapan, Lodin berkata, sektor penjagaan kesihatan terus menawarkan prospek yang cukup baik di Malaysia dan di pasaran antarabangsa, disokong oleh inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2018.

“Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM27 bilion bagi sektor kesihatan, RM2.5 bilion diperuntukkan untuk bekalan perubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan sokongan dan perubatan.

“Dengan sokongan kukuh ini, kami yakin Pharmaniaga sebagai peneraju dalam industri farmaseutikal bersedia untuk memanfaatkan peluang ini,” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini