Johannesberg: Seorang ibu melihat tangan anak lelakinya berusia lima tahun terjulur dari lubang tandas selepas kanak-kanak itu terjatuh ke dalamnya dan mati lemas di sekolah di Afrika Selatan.

Michael Komape, pelajar Sekolah Rendah Mahlodumela di wilayah Limpopo, utara negara itu, hilang selepas pergi ke tandas ketika sesi belajar pada 20 Januari 2014.

Ibunya Rosina berkata, dia menerima panggilan daripada guru besar memberitahu kanak-kanak itu sudah terjatuh ke dalam lubang tandas.

“Saya bergegas ke sekolah tetapi pengsan apabila melihat cuma tangannya terjulur dari lubang berkenaan.

“Kejadian itu terlalu mengejutkan dan kami sekeluarga masih trauma dengan kematiannya dalam keadaan yang begitu menyedihkan,” katanya.

Rosina memberi keterangan kepada mahkamah selepas dia dan suami, James, memfailkan saman terhadap Menteri Pendidikan Asas kerana menyediakan tandas yang tidak kukuh serta tidak sesuai untuk kegunaan murid.

BBC melaporkan, mereka turut menyaman kementerian pendidikan Limpopo dan guru besar sekolah kerana mendakwa pihak terbabit cuai dalam memastikan hak murid untuk belajar dalam keadaan yang selamat.

Semua defendan menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu, sebaliknya mendakwa kematian Michael satu kemalangan, bukan akibat kecuaian mereka.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan di Afrika Selatan dengan pihak berkuasa diselar kerana cara mereka mengendalikan kes berkenaan. – Daily Mail

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini