SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini, meneruskan kejatuhan harga semalam.

Brent didagangkan pada AS$61.47 satu tong pada 0106 GMT, turun 74 cent, atau 1.2 peratus berbanding penutup sebelum ini.

West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$55.10 satu tong, turun 60 cent, atau lebih satu peratus.

Kejatuhan harga itu bermakna harga minyak mentah kini turun sebanyak kira-kira lima peratus sejak mencecah paras tertinggi 2015 minggu lalu, mengakhiri rali kenaikan harga 40 peratus antara Jun dan awal November.

“Harga minyak mentah jatuh ketara selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) meluahkan keraguan berhubung tinjauan bagi 2018,” kata bank ANZ dalam satu kenyataan.

IEA mengurangkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak sebanyak 100,000 tong sehari bagi tahun ini dan tahun berikutnya, kepada anggaran 1.5 juta tong sehari pada 2017 dan 1.3 juta tong sehari pada 2018.

“Pasaran minyak berhadapan cabaran sukar pada suku pertama 18 dengan bekalan dijangka lebih besar daripada permintaan sebanyak 600,000 tong sehari disusuli lebihan 200,000 tong sehari pada suku kedua 2018,” kata IEA.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini