BERLIN: Pengendali Jerman, Joachim Loew dan rakan sejawatnya di Perancis, Didier Deschamps mengakui mereka masih ‘dihantui’ memori pahit serangan pengganas di Paris pada November 2015 menjelang aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi esok.

Juara dunia Jerman menanti kunjungan Perancis di Cologne dengan peristiwa hitam dua tahun lalu masih membayangi pertembungan berkenaan.

Pada 13 November 2015, pengebom berani mati meletupkan diri di luar Stade de France ketika perlawanan antara kedua-dua pasukan itu yang menjadi permulaan serangan pengganas mengakibatkan 130 orang terkorban.

Loew dan pasukannya yang terkejut dengan kejadian itu terpaksa menghabiskan malam berkenaan di Stade de France bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Anda tidak boleh melupakan sesuatu seperti itu. Memorinya kembali dan terus kembali,” kata Loew ketika sidang media, semalam.

“Ia pengalaman dramatik dan sesuatu yang kami tidak mahu tempuhi sekali lagi. Anda boleh menyekatnya sedikit tapi (petang) itu diselubungi dengan kebimbangan berada di dalam stadium.” Jurulatih Perancis, Deschamps yang juga mengemudi pasukannya pada malam itu berkata, pemainnya terganggu dengan serangan itu.

“Saya tidak akan lupa bagaimana keadaan di stadium, kami ketakutan dan ada tangisan,” kata pemenang Piala Dunia 1998 itu.

“Kami tidak akan lupa gelombang perpaduan selepas kejadian itu.”

Deschamps mendedahkan skuad kendaliannya bertafakur selama seminit sebelum sesi latihan terakhir di Cologne bagi memperingati mangsa yang maut dua tahun lalu.

Cologne yang menjadi tuan rumah diletakkan dalam tahap keselamatan tertinggi dengan sejumlah tiket di Stadium Rhein-Energie tidak dijual.

Loew berkata, beliau merasa selamat dengan pendekatan yang digunakan. – Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini