KUALA LUMPUR: Penganjuran Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2017 edisi ketiga mendapat pujian delegasi luar negara yang menghadiri Persidangan Global dan Mesyuarat Agung Persekutuan Koperasi Antarabangsa (ICA) 2017.

Penghargaan itu disampaikan Presiden Koperasi Antarabangsa, Monique F Leroux, yang memuji negara ini sebagai tuan rumah menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kerana menepati objektif selepas mengambil tindakan tepat merangkumi kerjasama dan membuka peluang kepada seluruh delegasi menerusi MACCOPS.

“Saya berpeluang menghadiri banyak persidangan dan ANGKASA harus berbangga kerana ini adalah satu persidangan yang berjaya menepati objektif utamanya.

“Saya kagum melihat komitmen dan daya keusahawanan yang ditunjukkan oleh golongan muda.

“Banyak idea hasil dari meja perbincangan, ANGKASA dan negara yang menyertai akan menyediakan landasan e-dagang untuk fasilitasi perhubungan antara negara selepas ini.

“Ia bagi mendidik dan melahirkan kesedaran terhadap dunia koperasi yang sangat penting dalam menguruskan produk kualiti dan isu berbangkit.

“ANGKASA sudah mencapai tahap bersedia di peringkat antarabangsa, yang mana disarankan Kanada dan negara lain mengikuti langkahnya,” katanya yang ditemui media selepas merasmikan MACCOPS 2017 sempena ICA 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Naib Presidennya, Datuk Kamarudin Ismail.

Abdul Fattah berkata, peluang sebagai penganjur dari negara Islam kedua selepas Turki amat bermakna bagi ANGKASA, untuk memperkenalkan dan berkongsi kemajuan dan pencapaian gerakan koperasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah kali ketiga MACCOPS 2017 diadakan dan pertama kali dalam penganjuran ICA. Ia adalah kesinambungan dari terdahulu, yang berjaya menyediakan landasan serta infrastruktur menghubungkan masyarakat dengan perniagaan koperasi di peringkat nasional dan ASEAN.

“Ia satu acara pemangkin pembangunan dan promosi produk serta perkhidmatan koperasi yang dianjurkan ANGKASA khusus untuk memartabatkan produk dan perkhidmatan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

ICA yang berlangsung sejak semalam dan berakhir esok disertai 1,473 delegasi dari 98 negara, termasuk Amerika Syarikat, Russia, United Kingdom, China, Jepun, Korea, Kanada, India, Iran dan Turki.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini