SHAH ALAM: “Saya takut hendak buka (eksibit) sebab sebelum ini pernah pegang ketika buat rampasan, selepas itu saya mengalami kesan sampingan selama seminggu,” kata Pegawai Turus D9 (Siasatan Khas), Superintenden Nasri Mansor.

Nasri, 40, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ketika diminta mengecam baju milik tertuduh pertama, Siti Aisyah yang masih mempunyai kesan agen saraf VX.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah sebelum itu memohon baju T tanpa lengan milik anak guamnya dibuka bagi membolehkan Nasri menunjukkan penandaan dilakukan pada pakaian terbabit yang dirampas dari bilik hotel pada 16 Februari lalu.

Baju itu dipakai tertuduh pada hari warga Korea Utara, Kim Chol (didakwa abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam), diserang menggunakan racun saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Soon Seng mendakwa racun pada pakaian itu sudah tiada berdasarkan keterangan pakar senjata kimia, Dr S Raja bahawa sesetengah bahagian pada baju T berkenaan sudah dipotong ketika melakukan analisis.

Sebelum ini, baju T terbabit dibuka di Makmal Jabatan Kimia dengan kehadiran peguam bagi tujuan pengecaman.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan eksibit yang diletak dalam beg plastik dibuka untuk dicam.

“Boleh buka kalau ia tidak mendatangkan kemudaratan. Saya juga boleh tangguhkan sebentar prosiding untuk peguam buka dan tengok.

“Sesiapa yang hendak keluar boleh keluar, kalau tidak kisah, tidak mengapa, tetapi saya kena pakai juga (penutup muka),” katanya berseloroh menyebabkan semua yang berada dalam mahkamah ketawa.

Selepas permohonan itu dibenarkan, beberapa individu yang berada di galeri awam termasuk seorang wartawan mengandung memilih untuk keluar dari mahkamah.

Nasri yang diminta mengecam baju T itu kelihatan berhati-hati dan memakai penutup muka serta sarung tangan.

Beliau juga meminta Soon Seng yang hanya memakai penutup muka, menjauhkan selendang milik Siti Aisyah yang hendak diletakkan di atas meja kandang saksi di hadapannya.

Saksi itu bagaimanapun tidak dapat menunjukkan kepada mahkamah penandaan yang dibuatnya terhadap baju T terbabit kerana bahagian berkenaan sudah dipotong ketika dianalisis di makmal.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini