KOTA BHARU: Keputusan injuksi membabitkan Wisma Tok Guru, di sini, akan diputuskan Mahkamah Tinggi, di sini, esok.

Permohonan injuksi itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache, menetapkan esok bagi memberi peluang kepada Husam selaku plaintif dan defendan, Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff, selaku pemilik tanah melalui peguam masing-masing untuk membuat tambahan hujahan balas.

Peguam mewakili Husam, Zaidan Ali, berkata permohonan anak guamnya itu dibuat bagi menghalang Wisma Tok Guru daripada diganggu mana-mana pihak sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan mahkamah.

“Anak guam kami berasakan ia satu penganiayaan tidak adil kerana dia mempunyai hak terhadap bangunan yang dibina sendiri di atas tanah terbabit.

“Kami juga berasakan defendan tidak mempunyai keperluan segera untuk menggunakan bangunan berkenaan sedangkan Wisma Tok Guru digunakan anak guam kami sebagai Pejabat ADUN Salor,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, mahkamah memberi peluang kedua-dua pihak untuk berbincang dan menyelesaikan kes di luar mahkamah, namun gagal mencapai kata sepakat.

Sebelum ini, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis berkenaan sudah tamat pada 12 November lalu.

PAS akan mengadakan satu majlis kesyukuran serta solat hajat malam esok sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim, yang dinamakan isterinya sebagai pemilik telah dijual kepada Mohd Yasin, yang juga Setiausaha Kerja PAS Kelantan dengan harga RM700, 000.

Dalam pada itu, peguam defendan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata anak guamnya mempunyai hak ke atas Wisma Tok Guru mengikut undang-undang memandangkan bangunan berkenaan berada di atas tanah terbabit.

“Kami berhujah mengikut Kanun Tanah Negara 1965 bagi merujuk apa saja yang berada di atas dan bawah tanah berkenaan, termasuk dalam air sekali pun, ia adalah milik tuan tanah yang sah dan mempunyai geran,” katanya.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini