SINGAPURA: Identiti 25 penumpang yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) di Stesen Joo Koon, di sini, masih belum diketahui sehingga kini.

Belum dapat dipastikan juga sama ada kemalangan itu membabitkan rakyat Malaysia.

BH juga tidak mendapat sebarang maklumat daripada kakitangan Hospital Besar Ng Teng Fong, satu daripada dua hospital yang merawat penumpang cedera,

Malah, seorang kakitangan hospital berkenaan meminta semua pengamal media yang berada di lobi beredar meninggalkan kawasan berkenaan.

Seorang jurucakap SMRT ketika ditemui di Hospital Besar Ng Teng Fong, berkata satu sidang media akan dibuat mengenai insiden berkenaan, bagaimanapun tidak memaklumkan waktu dan lokasi ia akan diadakan.

“Semua maklumat dan kemas kini hanya akan dikeluarkan menerusi akaun Facebook rasmi SMRT, seperti kenyataan yang kami keluarkan mengenai insiden pagi tadi,” katanya.

LOKASI kejadian SMRT yang bertembung di Stesen MRT Joo Koon, Tuas Singapura. – Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Hampir 20 pengamal media Singapura dan Malaysia berkumpul di pekarangan lobi sebelum diarah beredar oleh beberapa kakitangan SMRT dan hospital.

Memetik laporan The Straits Times, 23 penumpang dan dua kakitangan SMRT cedera ringan dalam kemalangan dua tren yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 10 penumpang dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong, manakala baki seramai 15 lagi dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan, di sini.

Syarikat pengendali, SMRT Corporation Ltd (SMRT) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kejadian itu.

Kemalangan menyebabkan operasi tergendala di laluan Barat-Timur dan secara kebetulan, laluan ‘Circle’ turut mengalami gangguan disebabkan kegagalan pada pintu.

Tinjauan BH di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Joo Koon pada jam 3 petang tadi mendapati perkhidmatan tren masih belum dapat dijalankan dan masih terdapat beberapa gerabak tidak beroperasi berada di landasan berkenaan.

Terdapat juga beberapa kakitangan SMRT dilihat sedang melakukan kerja penyelenggaraan di stesen berkenaan.

Dalam kenyataan dimuat naik SMRT dalam laman Facebooknya, dua jam lalu memaklumkan, Laluan Barat-Timur kedua-dua arah antara Boon Lay dan Tuas Link diberhentikan sementara selama dua jam bermula jam 2 petang tadi.

Ia adalah untuk memberi laluan bagi kerja pembaikan dan pemulihan insiden membabitkan dua tren berkenaan di Stesen Joo Koon.

INFO

* Kemalangan besar pertama MRT di Singapura yang beroperasi sejak 1987 adalah pada 5 Ogos 1993, menyebabkan 156 penumpang cedera.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini