NILAI: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mencadangkan kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri membincangkan dan mengkaji semula setiap undang-undang membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta membuat pindaan yang perlu.

Beliau berkata, ini perlu kerana walaupun kerajaan sudah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Artikel 121 (1A) pada 1988 bahawa perkara-perkara syariah hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, ia masih tidak jelas dan menyebabkan ada kes syariah tertentu dibicarakan di Mahkamah Sivil.

“Itu saya cadangkan, kerajaan perlu mengkaji satu persatu. Pinda (dan) betulkan supaya lubang-lubang yang ada dalam undang-undang ini diisikan dengan undang-undang baharu.

“Mungkin persidangan mufti (perlu diadakan untuk) tengok satu persatu (undang-undang dengan) mengkaji kes yang ada. Undang-undang adalah satu benda yang hidup dan perlu dipinda dari semasa ke semasa.

“Jadi bila berbangkit masalah, kena buat (pindaan),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Sivil lawan Syariah: Artikel 121 (1A) Adakah Sudah Muktamad? di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Syariahnya, Prof Madya Dr Zulkifli Hassan.

Artikel 121 (1A) adalah peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Zaki yang juga Profesor Adjung bagi Fakulti Undang-Undang dan Syariah USIM, menyarankan orang ramai supaya memahami perbezaan bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Banyak orang bertanya kepada saya soal isu apa sebabnya Mahkamah Sivil membuat keputusan atas soal undang-undang yang pada fahaman orang biasa, patut dibuat oleh Mahkamah Syariah, tetapi dibuat oleh Mahkamah Sivil.

“Ini kerana mereka tak faham bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Masalah besar sekali ialah bila antara dua orang bukan Islam, seorang daripadanya memeluk agama Islam dan melarikan anak.

“Saya faham kerajaan telah membuat keputusan bahawa dia (suami) tidak boleh memeluk Islam sehingga bercerai dengan isterinya tetapi dari segi syarie, adakah ini betul?

“Saya difahamkan di Wilayah (Persekutuan), dia (suami) tidak akan dibenarkan berkahwin semula sehingga bercerai dengan isterinya dan dapat perintah perceraian daripada Mahkamah Sivil, barulah pihak yang memeluk Islam itu dibenarkan berkahwin dengan orang Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 21 Ogos lalu dipetik berkata, Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164), tidak merampas hak bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap mereka yang memeluk Islam atau mualaf.

Pindaan dalam RUU itu hanya memberi peluang kepada mualaf membubarkan perkahwinan melalui prosiding sivil kerana sebelum ini peruntukan sedia ada tidak terpakai kepada orang yang memeluk agama Islam (mualaf). – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini