MOSCOW: Penyerang Arsenal, Alex Iwobi menyumbat dua gol ketika Nigeria mengejutkan Argentina 4-2 dalam aksi persahabatan di Krasnodar sebentar tadi manakala Sergio Aguero dilaporkan dikejar ke hospital selepas pengsan dalam bilik persalinan.

Pemain tengah Sevilla, Ever Banega dan penyerang Manchester City, Aguero membantu Argentina, beraksi tanpa Lionel Messi yang direhatkan, mendahului 2-0 selepas 36 minit.

PEMAIN Nigeria, Wilfred Ndidi (kiri) mengasak penyerang Argentina Paulo Dybala pada aksi persahabatan antarabangsa di Krasnodar, Russia, sebentar tadi. – Foto EPA-EFE

Namun penyerang Leicester City, Kelechi Iheanacho membalas satu gol pada masa kecederaan babak pertama sebelum Iwobi meledak dua gol pada babak kedua selain gol Brian Idowu untuk mengejutkan pasukan Amerika Selatan itu.

Media tempatan kemudiannya melaporkan Aguero dibawa ke hospital selepas pengsan ketika rehat dan penyerang itu menjalani pemeriksaan perubatan.

PEMAIN Nigeria, Ahmed Musa (kiri) cuba menghalang Diego Perotti pada aksi persahabatan antarabangsa di Krasnodar, Russia, sebentar tadi. – Foto AFP

“Kami bermain amat bagus pada babak pertama tapi semuanya tidak menjadi selepas rehat,” kata ketua jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli.

“Kami tidak menyudahkan peluang kami hari ini. Saya bimbang kami tidak dapat mencari pengganti buat Messi.”

Bos Nigeria, Gernot Rohr memuji ketabahan pasukannya selepas juara Afrika tiga kali itu kelihatan berada di ambang kekalahan.

“Ada dua babak yang jelas berbeza. Babak pertama amat menyukarkan. Seseorang percaya perlawanan itu sudah berakhir selepas Argentina menjaringkan gol kedua mereka,” kata Rohr.

“Tapi kami berjaya melakukan kebangkitan. Selepas menyumbat gol kami mengubah corak permainan ketika rehat dan bertindak lebih bagus pada babak kedua. Pemain saya membuktikan mereka mempunyai keinginan kuat untuk menang. Saya terlalu gembira dengan persembahan mereka.”

Argentina, yang menewaskan Russia 1-0 di Moscow Sabtu lalu di gelanggang yang akan menjadi hos Piala Dunia tahun depan, mengetepikan Messi bagi aksi sebentar tadi berikutan persetujuan dengan Barcelona. – AFP

PEMAIN Nigeria meraikan kemenangan ke atas Argentina pada aksi persahabatan antarabangsa di Krasnodar, Russia, sebentar tadi. – Foto AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini