PUTRAJAYA: Pelakon, Idris Khan, 29, menetapkan 20 Januari depan sebagai tarikh pernikahannya dengan pilihan hati, Sanaa Jeljalane, 26.

Katanya, mereka kini dalam proses menguruskan dokumentasi untuk majlis pernikahan, malah kedua-duanya juga sudah mengikuti kursus kahwin di ibu negara, beberapa minggu lalu.

“Bakal isteri kini pulang ke negaranya, Maghribi, untuk menguruskan dokumen diperlukan bagi pernikahan kami, memandangkan dia bukan rakyat Malaysia. Syukur proses itu berjalan lancar.

“Andai tiada aral, kami akan bernikah pada 20 Januari 2018, tetapi setakat ini lokasi hari bersejarah buat kami nanti belum ditentukan. Saya sendiri masih memilih tempat bersesuaian.

“Apa pun, hanya sebuah majlis diadakan di Kuala Lumpur untuk kedua-dua pihak kerana keluarga kami kecil saja. Jadi, tiada majlis resepsi di Maghribi. Keluarganya juga akan datang ke sini nanti,” katanya pada majlis pembukaan Idealyst Medispa Ayer@8, di sini, petang tadi.

Akui bintang Duda Terlajak Laris itu, beliau akan diperkenalkan buat julung kali kepada keluarga bakal mentuanya pada bulan ini apabila mereka berkunjung ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Mereka memang mengetahui perihal hubungan kami dan turut gembira dengan berita rancangan perkahwinan ini. Mungkin ada sedikit debaran kerana sebelum ini saya dan ibu bapanya hanya berhubung menerusi maya.

“Malah, ikut perancangan, kami memang tidak melalui proses merisik atau bertunang, sebaliknya mahu terus melangsungkan perkara wajib,” katanya yang menjalinkan hubungan serius bersama gadis itu sejak dua tahun lalu.

Kata Idris, bagi majlis resepsi nanti, sebagai kenangan sepanjang hayat, mereka mengidamkan sebuah acara yang menggabungkan kedua-dua budaya, iaitu tradisional Melayu dan Maghribi.

Idris turut berkata, bagi mengukuhkan masa depan bersama wanita yang sanggup menetap di negara ini selepas berkahwin, beliau akan mengusahakan perusahaan pertanian di ladang keluarga di Melaka.

BHARIAN

“Saya mahu mengusahakan ladang jagung kerana nampak prospek dan permintaan menerusi syarikat baharu. Manakala menerusi syarikat penerbitan, Centro Pictures, pula saya kini menjayakan penggambaran filem mengenai tentera udara, yang juga sebuah kisah benar.

“Semua ini adalah persediaan untuk masa depan. Saya sudah sedia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. Bakal isteri yang juga lulusan bidang pelancongan juga sangat memberi sokongan,” ulasnya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini