DUBLIN: Christian Eriksen tampil dengan persembahan menakjubkan apabila meledak hatrik ketika membantu Denmark membelasah Ireland 5-1, dalam aksi kedua playoff, sebentar tadi sekali gus layak ke Piala Dunia tahun depan.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Copenhagen, minggu lalu, Ireland memperoleh permulaan sempurna apabila tandukan Shane Duffy meletakkan mereka mendahului perlawanan seawal minit keenam.

PEMAIN Denmark, Nicklas Bendtner meraikan gol jaringannya menerusi sepakan penalti ketika menentang Republik Ireland pada aksi playoff Piala Dunia 2018 di Dublin, sebentar tadi. – Foto AFP

Begitupun, Denmark membalasnya dengan dua gol sebelum babak pertama berakhir dan menjaringkan tiga lagi gol pada babak kedua untuk menempah tiket ke Russia, tahun depan.

Selepas 19 minit Ireland mendahului, Denmark meraih gol penyamaan, tetapi ironinya ia menerusi jaringan sendiri Cyrus Christie, susulan percubaan Andreas Christensen.

PEMAIN Denmark mengangkat ketua jurulatih, Age Hareide selepas tamat perlawanan di Stadium Aviva, sebentar tadi. – Foto Reuters

Kelebihan itu kemudian pantas digandakan oleh Eriksen, tiga minit kemudian selepas rembatan padunya gagal diselamatkan penjaga gol Ireland, Darren Randolph.

Memerlukan dua gol untuk ke Russia, jurulatih Ireland, Martin O’Neill membuat dua pertukaran pada rehat babak pertama dengan memasukkan Aiden McGeady dan Wes Hoolahan.

Begitupun, percaturannya tidak menjadi apabila Eriksen yang juga pemain Tottenham Hotspurs kemudian menambah dua lagi gol, bermula pada minit ke-63 sebelum melengkapkan hatrik, 10 minit kemudian.

GELAGAT sebahagian penyokong Denmark meraikan kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 di Dublin, sebentar tadi. – Foto AFP

Pemain gantian, Nicklas Bendtner melengkapkan kemenangan bergaya Denmark menerusi penalti selepas dia dijatuhkan James McClean pada minit ke-90.

Kekalahan itu menyaksikan O’Neill yang sudah pun bersetuju membimbing Ireland bagi kelayakan Euro 2020 berdepan kritikan, susulan tindakannya tidak menyenaraikan Hoolahan dalam kesebelasan utamanya.

Pemain berusia 35 tahun itu adalah antara tonggak Ireland yang menyinar dan menjadi satu daripada empat pemain yang dijangka akan bersara daripada pentas antarabangsa.

Kekalahan jelas satu lagi situasi mengecewakan buat Ireland yang tewas pada aksi playoff ketika Piala Dunia 2010 kepada Perancis. – AFP

REAKSI pemain Republik Ireland, Jeff Hendrick dan Shane Duffy kecewa gagal ke Piala Dunia 2018. – Foto Reuters

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini