KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah, yang kini didagangkan pada AS$61.48 (RM257.56) setong, dijangka kekal pada AS$62 setong tahun hadapan, kata syarikat perunding perniagaan, Axcelasia Inc.

Pengerusi Eksekutifnya, Dr Veerinderjeet Singh, berkata unjuran itu sejajar dengan laporan ekonomi yang sudah disiarkan, dengan tahap AS$62 setong baik untuk Malaysia dari segi pendapatan – cukai pendapatan petroleum dan royalti.

“Bagi ringgit, jika ekonomi terus berkembang, unit tempatan itu akan stabil pada paras semasa RM4.20, berbanding dolar US dan sama ada akan mengekalkan atau bertambah baik kepada RM4.10 pada 2018,” katanya pada Seminar Belanjawan Tahunan 2018, di sini, hari ini.

Veerinderjeet, yang juga Pengerusi Axcelasia Taxand Sdn Bhd, berkata prestasi ringgit tidak menyaksikan peningkatan dramatik dan akan kekal stabil, bergantung kepada banyak faktor, termasuk perdagangan dan eksport Malaysia.

“Bajet Malaysia 2018 bersandarkan unjuran AS$55 setong, maka pada AS$62 setong, ia akan memberi hasil tambahan,” katanya.

Mengenai pembaharuan industri percukaian, beliau berkata, Malaysia sedang menyesuaikan rejim percukaian semasa supaya selaras dengan dasar Pertubuhan bagi Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).

Antara dasar yang disahkan adalah kadar cukai korporat yang lebih rendah, yang akan menjurus kepada pengurangan insentif cukai, langkah yang baik untuk ekonomi dalam jangka masa panjang, katanya.

Penceramah pada seminar itu terdiri daripada pakar percukaian, ahli ekonomi dan pegawai kerajaan yang memperhalusi Bajet 2018. – BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini