KUALA LUMPUR: Perak boleh menarik nafas lega selepas penjaga gawangnya, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy memberi bayangan hatinya masih bersama Perak dan akan terus kekal menjadi benteng terakhir skuad The Bos Gaurus pada musim depan.

Jelas pemain berusia 24 tahun itu, kontraknya masih berbaki setahun namun mengakui ‘dirisik’ beberapa pasukan yang mahukan khidmatnya bagi saingan musim depan tetapi enggan mengulas lanjut.

“Haluan saya masih lagi bersama Perak memandangkan saya ada kontrak selama setahun. Mengenai perpindahan ke pasukan lain, saya tidak tahu lagi.

Memang ada pasukan cuba memancing khidmat saya tetapi saya tidak mahu bercakap mengenainya ketika ini.

“Lagipun, tiada tawaran menarik diterima dan sama saja seperti apa yang saya dapat bersama Perak ketika ini. Apapun, saya boleh katakan 80 peratus saya akan kekal dengan Perak bagi musim depan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Penjaga gol dengan ketinggian 185 sentimeter itu (cm) itu berjaya memperagakan persembahan memberangsangkan apabila menggantikan Zamir Selamat sebagai penjaga gol utama Perak pada musim lalu dengan dia melalui tujuh perlawanan tanpa bolos dalam 19 aksi liga pada musim pertamanya.

Dia turut mengesahkan status sebagai penjaga gol utama negara apabila diberi kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada menjaga gawang skuad Harimau Malaya dalam empat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 yang diharungi sebelum ini.

Bagaimanapun, dia berdepan ‘mimpi ngeri’ apabila dibolosi 11 kali dalam empat aksi termasuklah bolos lapan gol dalam dua perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram.

Namun, bekas pemain Harimau Muda B itu berjaya tampil dengan persembahan memukau, menyaksikan dia menyelamatkan sepakan penalti pada minit akhir ketika bertemu Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.

Ketangkasan itu membolehkan skuad negara melakar keputusan 1-1 menentang Hong Kong sekali gus memungut satu-satunya mata pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 dengan empat lagi perlawanan yang diharungi berakhir dengan kekalahan.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini