‘Gerobok rezeki’ di masjid Lembah Subang jadi talian hayat

0
17

Kuala Lumpur – Bagi penduduk berpendapatan rendah di projek perumahan rakyat (PPR) Lembah Subang, sebuah almari yang terletak di suatu sudut di Masjid Ara Damansara menjadi “penyelamat” apabila mereka kehabisan barang makanan penting di dapur masing-masing.

Dikenali sebagai “Gerobok Rezeki”, inisiatif itu bertujuan menyediakan makanan asas seperti beras, sardin dalam tin, gula, garam, kicap, minyak masak dan tepung.
gerobok-3

Sudut ‘Gerobok Rezeki’ yang terletak di Masjid Ara Damansara.

Barangan yang disediakan termasuklah pakaian terpakai yang ditempatkan di dalam almari yang terletak di masjid tersebut.

Orang ramai dibenarkan mengambil apa sahaja barangan yang mereka perlukan pada bila-bila masa dan almari itu terbuka kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.
gerobok-rezeki

Antara keperluan dapur yang terdapat di ‘Gerobok Rezeki’.

Idea asal inisiatif ini daripada organisasi amal yang digelar HUMANITY, tetapi sejak itu ia berkembang menjadi inisiatif utama yang dibiayai masjid dan orang perseorangan.
safrina

Ibu kepada 4 orang anak, Safrina Ariffin, 36, merupakan salah seorang yang menggunakan kemudahan “Gerobok Rezeki” dengan mengambil beras, telur atau apa-apa barang keperluan yang ada.

Beliau yang bekerja di sebuah pasar raya dengan gaji RM850 sebulan berkata kadang kala wujud perasaan segan kerana kerap mengambil keperluan asal di sana namun beliau terpaksa berbuat demikian agar anaknya tidak kelaparan.

“Stok makanan yang diambil hanya bertahan 3 hari sahaja dan saya terpaksa berjimat agar ia bertahan lebih lama,” katanya yang melahirkan kegembiraan dengan adanya inisiatif itu.

Seorang lagi yang memanfaatkan “Gerobok Rezeki”, Paridah Arsad, 62, melahirkan rasa syukur dengan adanya inisiatif itu kerana dapat menampung kehidupannya walaupun sedikit.
pardah

Ibu tunggal yang bekerja sebagai pemungut barangan terpakai ini berkata stok yang diambilnya mampu bertahan untuk seminggu.

“Saya selalu jumpa barang keperluan seperti beras, cili kering dan bawang di dalam tong sampah. Barang yang saya jumpa itu, saya basuh dan gunakan atau berkongsi dengan jiran yang tiada bekalan makanan,” katanya yang terpaksa menjual barangan terpakai untuk menyara hidup.

Selain barangan keperluan, beliau turut mengambil pakaian terpakai yang masih elok di almari itu.

Susu dan lampin bayi

Manakala suri rumah, Suhaila Sanusi, 41, rasa terharu kerana masih ada insan yang prihatin dan menolong golongan yang tidak berkemampuan sepertinya melalui inisiatif itu.
gerobok-4

Kebanyakan mereka yang mendapat manfaat daripada “‘Gerobok Rezeki’ tinggal di PPR Lembah Subang yang terletak hanya 5 minit perjalanan dari Masjid Ara Damansara.

“Saya mengambil barangan di sana apabila terdesak ketika barang keperluan di rumah kehabisan. Jika bernasib baik saya dapat beras, lampin pakai buang dan susu bayi.

“Jika tiada barangan di ‘Gerobok Rezeki’, saya terpaksa menebalkan muka meminjam barang dapur daripada jiran,” kata isteri kepada juruletrik yang mempunyai 5 orang anak ini.
abdul

Abdul Rahman, 61, yang bertanggungjawab mengagihkan barangan daripada “Gerobok Rezeki” di Masjid Ara Damansara berkata, kebanyakan mereka yang tidak mampu membeli barang keperluan bersyukur dengan inisiatif itu.

“Ada di antara mereka menangis apabila mereka mendapat barangan yang diperlukan. Ia menunjukkan betapa susahnya hidup mereka.

“Ada yang mengatakan mereka tidak menggunakan syampu rambut hampir setahun dan sangat gembira mendapat syampu di sini.

“Kebanyakan mereka dari PPR Lembah Subang. Mereka termasuklah ibu tunggal dan orang kurang upaya.

“Mereka kelihatan sangat gembira. Kini mereka mempunyai tempat untuk dituju untuk mendapatkan bekalan makanan secara percuma,” kata Rahman sambil menambah golongan kurang bernasib baik itu juga terdiri daripada masyarakat bukan Islam.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini