KUALA LUMPUR: Seramai 7,654 individu di bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang dalam tempoh 2013 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Masir Kujat, berkata daripada jumlah itu, 6,227 orang sudah ditemui semula, sementara 1,127 orang lagi masih gagal dikesan.

Beliau berkata, hasil siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga, punca utama hilang adalah disebabkan mahu mencari kebebasan iaitu sebanyak 4,188 kes.

“Mengikut kawan pula (1,330 kes), mengikut kekasih (1,025), salah faham keluarga (715 kes), tidak berminat untuk belajar (150 kes), kerana mencari kerja (101), hilang bersama ibu atau bapa (64 kes) serta tidak mendapat perhatian keluarga, 81 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Izani Husin (PAS – Pengkalan Chepa) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Masir menjelaskan, statistik kehilangan mengikut umur pula, 65 kes kehilangan membabitkan kanak-kanak berusia di bawah enam tahun, berumur tujuh hingga 12 (297 orang), berumur 13 hingga 15 (3,959) serta 3,333 orang berusia 16 hingga 18 tahun.

Dari sudut jantina, beliau berkata sepanjang tempoh sama juga, seramai 1,989 remaja yang hilang adalah lelaki, sementara 5,665 orang adalah perempuan.

“Pecahan kes hilang mengikut bangsa pula adalah, Melayu (5,123 kes), Cina (528 kes), India (758 kes) dan 1,245 kes membabitkan lain-lain bangsa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), beliau berkata sememangnya aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Facebook dan sebagainya menjadi medium paling efektif untuk mempengaruhi remaja hilang.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini