KITA mahukan pengakhiran hidup dalam husnul khatimah, tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana kita menjalani kehidupan di dunia. Justeru, sentiasa menghadiri majlis ilmu supaya kita dapat hidup mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Ikuti penjelasan lanjut dalam rancangan Islam Itu bersama Ustaz Pahrol Muhamad Juoi di IKIMfm.

Kata Imam al-Ghazali, cara mati seseorang mukmin itu ditentukan oleh cara hidupnya. Begitu juga cara seseorang itu dibangkitkan akan ditentukan oleh cara kematiannya. Hakikat yang perlu diterima oleh manusia, setiap yang bernyawa akan menemui ajalnya.

Bilakah waktunya adalah rahsia Allah SWT mengikut takdir yang ditentukan oleh-Nya. Menerusi rancangan Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, beliau berkata, ramai orang mengimpikan kesudahan hidup yang baik.

Katanya, ramai orang mahu ‘pergi’ dalam pengakhiran husnul khatimah, namun jika cara hidup jauh daripada zikir kepada Allah SWT, tidak mengamalkan ajaran Islam sempurna, gagal menunaikan tuntutan makna kalimah syahadah, mana mungkin akan mendapat pengakhiran hidup yang baik.

Jika hidup terisi dengan tuntutan amalan zikrullah, disulami kalimat nama Allah SWT yang tidak pernah terhenti, pasti roh dan jasad akan selalu hidup dan berakhir dengan makna kalimah syahadah seperti sentiasa dilafazkan.

Pahrol berkongsi empat golongan manusia yang akan mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Mereka adalah seperti yang dijanjikan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesanpesan dengan sabar.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Hadir majlis ilmu

Golongan pertama, mereka yang beriman kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menyuburkan baja keimanan supaya hidup dalam sanubari. Kedua, golongan yang memfokus amalan soleh kepada Allah SWT, nescaya mukmin itu akan mendapat kerahmatan dalam kehidupan.

Golongan ketiga adalah yang sentiasa berpesan dalam perkara kebenaran, setiap masa dan ketika dalam hidupnya sentiasa meletakkan diri dalam putaran kebenaran supaya dengannya ia sentiasa bermuhasabah diri.

Golongan keempat, mukmin yang mahu mendapat kebaikan dalam hidup dengan meletakkan nilai kesabaran terhadap apa juga situasi dan keadaan.

Seorang mukmin yang mahu kekal keimanan terhadap Allah SWT hendaklah sentiasa akrab dengan majlis ilmu. Orang yang terdidik dengan majlis ilmu akan sentiasa terbimbing hidup mereka dengan kefahaman agama dan perbuatan yang membawa kebaikan.

Orang yang meninggalkan majlis ilmu jiwanya umpama ranting kering yang mudah patah apabila ditiup angin. Ilmu adalah jalan untuk beriman kepada Allah SWT, jalan menuju syurga. Justeru, majlis ilmu disebut seperti taman syurga yang mengingatkan mukmin akan kebaikan.

Ketuk pintu hidayah

Walau apapun, niat adalah perkara utama yang menentukan destinasi sesuatu matlamat. Oleh itu, setiap perkara yang dilakukan mesti berlandaskan niat kerana Allah SWT yang diterjemahkan melalui perbuatan mendatangkan kebaikan buat dirinya dan orang lain. Sebab itulah budaya ilmu mesti dihidupkan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.

Hidup kita tidak terlepas daripada rintangan dan ujian. Namun, dengan semangat mujahadah yang tinggi, walau jatuh berkali-kali kita tetap akan dapat bangkit dan seterusnya menebus kekalahan dalam hidup.

Nilai mujahadah bukan mengenai jatuh atau kalah, tetapi bagaimana kita bangkit dan terus bangun melawan kekalahan itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Pesanan ahli sufi, ketuklah pintu hidayah Allah SWT berkali-kali kerana jalan itu akan membawa seorang mukmin untuk dekat dengan-Nya. Sesuatu perkara yang membawa kebaikan sungguhpun pahit akan memberi hasil dan faedah yang baik.

Sesuatu hal yang tidak baik sungguhpun manis dan indah tetap tidak akan mendatangkan faedah kepada mukmin. Justeru, capailah reda Allah SWT supaya di hujung hidup nanti kita akan peroleh kematian yang baik dan dapat menghuni syurga-Nya yang kekal abadi.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini