Hulu Langat: “Apa gunanya perabot jika rumah kerap kali ditenggelami banjir. Sejak minggu lalu, sudah tiga kali kediaman kami dinaiki air,” kata mangsa banjir, Roszaihan Hanafiah, 33.

Menurutnya, dia sekeluarga baru selesai mencuci lumpur di rumah terletak di Sungai Serai di sini, selepas banjir besar berlaku Jumaat lalu.

“Rumah kami memang tidak dilengkapi dengan perabot. Bukan kami tidak mampu namun kami sudah tidak mampu menanggung kerugian.

“Perabot akan rosak akibat ditenggelami banjir dan memerlukan wang untuk menggantinya semula,” katanya ketika ditemui wartawan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di sini, semalam.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Norela Alwi, 47, berkata, hujan lebat sejak jam 3 pagi semalam menyebabkan air dari Sungai Langat melimpah sebelum menenggelamkan rumahnya.

“Air banjir melimpah masuk ke dalam rumah sekitar jam 9 pagi tadi (semalam). Ketika itu kami baru sahaja menghantar anak ke sekolah.

“Banjir kali ini hanya setinggi paras betis. Sebelum ini lebih teruk apabila paras banjir setinggi paras pinggang dewasa,” katanya.

Dia yang tinggal di kawasan itu sejak 30 tahun lalu berkata, rumahnya dilanda banjir hampir 25 kali sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:29 AM

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini