PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, tidak patah semangat meskipun lagu nyanyiannya, Mata, gagal ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang bakal berlangsung pada Februari depan.

Kata beliau, seperti bait lirik dalam lagu dendangannya itu, dirinya akan terus berjuang bagi memperbaiki kekurangan yang ada sebagai anak seni.

“Saya akui terlalu berharap agar lagu ini dapat melangkah lebih jauh. Apapun, saya percaya setiap yang berlaku berserta dengan hikmah. Saya pula sudah pun melakukan yang terbaik.

“Saya juga takkan sesekali berputus asa, malah bersedia untuk terus memberikan saingan pada masa akan datang,” katanya kepada BH Online.

Mengulas tindakan netizen yang membidas luahannya sebaik saja gagal melangkah ke pentas AJL32, Ayda berkata, sebagai manusia biasa, beliau pastinya kecewa kerana menaruh harapan yang tinggi.

Bintang yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Rindu Awak 200% ini, berkata apa yang diluahkan adalah demi mengetahui kelemahannya, selain bertujuan memperbaiki diri.

“Saya akui memang ada bertanya mengenai markah saya, bukannya markah peserta lain secara menyeluruh. Saya juga tidak mempertikai markah yang diberikan juri, tetapi mahu melihat di manakah kekurangan yang boleh diperbaiki.

“Saya serius mahu memastikan saya mampu ke pentas AJL suatu hari nanti dan mahu melakukan yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayda, 25, kini dalam rangka promosi filem sulungnya, Pinjamkan Hatiku yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 November ini.

Filem cinta menyentuh perasaan arahan Osman Ali berkenaan menggandingkan dirinya dengan dua bintang terkemuka, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini