MANILA: Malaysia mahu negara-negara ASEAN menyediakan satu pelan tindakan bagi mendepani gelombang Revolusi Industri Keempat terhadap rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau telah mencadangkan supaya diwujudkan Kumpulan III Visi Asia Timur bagi memantau kesan revolusi terhadap ekonomi negara-negara ASEAN Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan) dan mengutarakan langkah ke hadapan dalam mendepaninya.

Katanya, cadangan itu disampaikan semasa Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga di sini hari ini yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin ASEAN, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in; Perdana Menteri China, Le Keqiang dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Bercakap pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, Najib berkata ASEAN semakin diiktiraf dari segi kepentingan dan kedudukan strategiknya oleh kuasa-kuasa besar dunia dan serantau yang menyertai pelbagai mesyuarat yang diadakan sejak Ahad.

Antara yang turut hadir Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Malah, Najib berkata China juga bersedia mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan yang menjadi konflik kerana pertindihan tuntutan beberapa negara, dan sudah menyatakan kesediaan memulakan rundingan untuk memuktamadkan kerangka bagi Kod Tatalaku (CoC) tahun depan.

Selain itu, beberapa rakan dialog seperti India dan Australia pula mahu mengadakan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India dan ASEAN-Australia di negara masing-masing pada Januari dan April tahun depan.

– BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini