KENINGAU: Sepasukan anggota bomba mengambil masa tiga hari dua malam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang patah kaki ketika menangkap ikan di hulu Sungai Pangas, Apin-Apin, di sini, Ahad lalu.

Walaupun Zaidi Sius, 41, ditemui sejurus operasi digerakkan selepas menerima laporan penduduk kampung Ahad lalu, usaha membawanya keluar tidak dapat dilakukan pada hari sama berikutan keadaan laluan yang sukar, selain cuaca buruk.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata perjalanan ke lokasi mengambil masa tiga jam menggunakan pacuan empat roda menyusuri laluan balak sepanjang 42 kilometer, ditambah enam jam berjalan.

Katanya, selepas menerima panggilan pada jam 4.50 pagi Ahad lalu, sepasukan enam anggota bomba dengan dibantu 25 penduduk Kampung Ulu Pangas digerakkan ke lokasi pada jam 5 pagi.

ANGGOTA bomba tidur dua malam di hutan bersama mangsa yang patah kaki berikutan cuaca buruk dan laluan berbukit ketika operasi SAR di Ulu Sungai Pangas, Apin-Apin, Keningau. – Foto ihsan JBPM Sabah

“Pasukan SAR menemui mangsa pada jam 11.45 pagi hari sama tetapi terpaksa bermalam di lokasi, sementara menunggu bantuan pasukan SAR kedua.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran membawa mangsa keluar kerana faktor cuaca dan terpaksa melalui laluan berbukit, manakala pergerakan menggunakan sungai tidak dapat dilakukan kerana arus deras.

“Kawasan berkenaan juga tiada liputan komunikasi menyebabkan perhubungan terhad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khatizah berkata, pasukan SAR kedua digerakkan ke lokasi bagi membantu pasukan SAR terdahulu pada jam 6 pagi kelmarin sebelum mangsa dapat dibawa keluar pada jam 1.55 tengah hari semalam.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

BHARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini