SINGAPURA: Sebuah kereta api transit aliran massa (MRT) di Singapura bertembung dengan kereta api yang tidak bergerak berhampiran sebuah stesen di kawasan barat negara itu, pagi tadi mengakibatkan 25 mangsa cedera, lapor akhbar Straits Times.

Menurut akhbar itu, insiden berkenaan berlaku pada jam 8.00 pagi waktu tempatan, namun, setakat ini, tiada perincian lanjut diberikan.

Pengendali kereta api itu, SMRT tidak memberikan sebarang kenyataan ketika dihubungi.

Sementara itu, laman web Channel News Asia melaporkan 25 penumpang dibawa untuk menerima rawatan di hospital selepas dua tren berlanggar di stesen MRT Joo Koon.

“Seramai 23 penumpang dan dua kakitangan MRT Singapura (SMRT) mengalami kecederaan ringan dan mereka dibawa ke Hospital Ng Teng Fong dan Hospital National University,” kata SMRT dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan bersama sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada jam 8.18 pagi ketika sebuah tren yang dalam perjalanan dari Stesen Tuas Link terhenti di Stesen Joo Koon dan seminit kemudian, tren kedua berhenti di belakang tren pertama.

“Pada jam 8.20 pagi, tren bergerak di hadapan tanpa disangka-sangka dan berlanggar dengan tren pertama,” katanya.

Berikutan itu, SMRT dan LTA berkata, mereka sedang menyiasat punca kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.33 pagi.

“Seramai 23 orang yang kebanyakannya mengalami cedera ringan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya. – Reuters/Agensi

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini