“KALAU pemergian saya dapat menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan ketika ini, siapkan surat dan saya boleh tandatangani serta merta,” kata pengendali skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada.

Meskipun memberi bayangan bersedia melepaskan jawatannya, pengendali dari Portugal itu masih percaya betapa skuad kebangsaan memiliki masa depan yang cerah dengan dia berjanji akan terus berusaha menaikkan semula mutu bola sepak negara.

Malah, dia tidak melihat prestasi hambar yang diperagakan anak buahnya sebagai satu kegagalan, sebaliknya memandang keputusan yang diraih itu dari sudut positif walaupun ia menceritakan realiti sebaliknya.

“Saya mengambil tanggungjawab atas keputusan yang diraih kerana apabila kita tewas, saya yang mengalami kekalahan dan apabila kami menang, pasukan yang meraih kemenangan.

“Sememangnya tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, tetapi saya yakin senario ini pasti akan berbeza pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Skuad kebangsaan tiba dari Buriram, Thailand selepas mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara yang menyaksikan mereka dimalukan 4-1 dalam kedua-dua perlawanan berkenaan.

Pada masa sama, Vingada turut menjelaskan cabaran menyiapkan pasukan tanpa sebarang aksi persahabatan menyebabkan dia tidak dapat menguji kombinasi bagi memilih kesebelasan utama terbaik untuk diturunkan dalam beberapa perlawanan yang diharungi sebelum ini.

“Kita hanya berdepan satu aksi persahabatan bertemu Myanmar sebelum mengharungi kelayakan bertemu Hong Kong di laman sendiri, jadi pemain berjaya menunjukkan persembahan yang lebih baik pada perlawanan itu berbanding perlawanan lain.

“Kekangan sebegini yang mendatangkan kesukaran kepada saya, namun saya tidak menyalahkan sesiapa dan saya tidak mahu menjadikan perkara ini sebagai alasan atas persembahan hambar yang ditunjukkan anak buah saya,” katanya. APF

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini