BADAN Amal Tarbiah Sejagat Negeri Kedah (BATAS) yakin desakan supaya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berundur sebagai teraju Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai ‘permainan’ pihak tertentu yang cemburu dengan kejayaan skuad bola sepak negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan pengerusinya, Hafizam Harun, bagaimanapun identiti pihak yang dikatakan mendalangi gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Bashah dan KFA itu tidak didedahkan.

Beliau mengakui pihaknya terkejut dan kecewa dengan desakan itu apatah lagi dengan insiden ‘boooo’ di stadium dijadikan sebagai sandaran supaya Menteri Besar Kedah itu melepaskan jawatan di KFA.

“Suasana ‘boooo’ di stadium bukan baharu dan umum sendiri tahu termasuklah penyokong bola sepak Kedah bahawa ada gerakan terancang untuk memalukan Ahmad Bashah di stadium yang sudah sekian lama wujud.

“Bagi BATAS yang memiliki kira-kira 15,000 ahli di seluruh Kedah yang majoritinya membabitkan golongan muda, kepimpinan Ahmad Bashah dalam KFA masih relevan dan ini dibuktikan sendiri selepas ahli majlis eksekutif KFA dan 36 ahli kelab gabungan memutuskan khidmat Menteri Besar Kedah itu masih diperlukan.

“Kepimpinan Ahmad Bashah dalam KFA sememangnya diakui dan keprihatinan beliau membina skuad Helang Merah sejak mengambil alih jawatan Presiden KFA juga terbukti.

“Bukan sahaja idea dan buah fikiran, malah jutaan ringgit turut dibelanjakan untuk KFA dan hasilnya kini, Kedah boleh berbangga kerana diakui antara pasukan bola sepak terhebat di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan pihak tertentu khususnya Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) yang berkeras mahu melihat perubahan dalam barisan kepimpinan KFA yang kini diterajui Ahmad Bashah, walaupun ia bertentangan dengan keputusan mesyuarat ahli majlis eksekutif KFA.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini