SEREMBAN: Pendatang baharu Liga Perdana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, mahu membawa masuk tiga pemain import – Thailand, Korea Selatan atau Jepun dan Afrika, bagi melengkapkan skuad menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Ketua jurulatih pasukan itu, Sulaiman Hussin berkata, pemain yang akan dipilih membabitkan posisi pertahanan, tengah dan sayap.

Ketika ini, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemain dari negara terbabit, namun belum membuat sebarang tawaran kerana ia akan berdasarkan kepada kemampuan kewangan pasukan itu.

“Fokus kita adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga pemain import dan sasaran adalah dari Thailand, Korea Selatan atau Jepun dan Afrika.

“Kita mahu mendapatkan pemain import yang berkualiti kerana saingan di Liga Perdana lebih mencabar berbanding Piala FAM.

“Bagaimanapun, kita juga tidak mahu terburu-buru kerana bimbang ia tidak menepati keperluan pasukan atau tersalah pilih yang akhirnya tidak membantu kepada kekuatan pasukan.

“Malah kita juga tidak mahu terperangkap dengan gelagat ejen yang mahukan keuntungan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

UKM FC yang juga naib juara Piala FAM 2017, adalah antara dua pasukan selain Sime Darby FC, yang akan bersaing dalam kempen Liga Perdana musim 2018.

Sulaiman berkata, kira-kira 80 peratus pemain skuad itu akan dikekalkan untuk musim depan dan kebanyakannya adalah pelajar universiti berkenaan.

Selain itu, UKM FC turut berminat mendapatkan khidmat empat pemain skuad bawah 19 tahun (B-19), Nabil Hakim Bokhari, Muhammad Zahril Azri Zabri, Ammar Akhmal Alias serta Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini