SELEPAS kehangatan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Jerman (Bundesliga) yang mencetuskan fenomena pada setiap hujung minggu, kini satu lagi aksi liga bertaraf dunia iaitu saingan Liga Itali (Serie A) bakal menemui peminat bola sepak di negara ini.

Sportsfix peneraju platform penstriman mudah alih di rantau Asean akan membawakan saingan Serie A itu secara langsung bermula Ahad ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Marcus Luer berkata, dengan langganan serendah RM5 seminggu dan RM10 bulanan, peminat berpeluang menonton kelibat pemain bintang seperti Gonzalo Higuain, Paulo Dybala, Marek Hamsik, Mauro Icardi dan Edin Dzeko secara langsung menerusi dalam talian.

“Sportsfix sudah menandatangani perjanjian dengan pemegang hak media antarabangsa Liga Itali dengan menyiarkan tiga perlawanan secara langsung setiap minggu kepada peminat di Malaysia melalui platform www.sportsfix.tv bermula hujung minggu ini.

“Serie A mempunyai ramai pengikut di Malaysia dan peminat dapat menyaksikan semula liputan secara langsung terutamanya pasukan utama seperti juara bertahan Juventus, AC Milan dan Napoli,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Sportsfix di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Menurutnya, Serie A antara sebahagian daripada senarai kandungan yang ditawarkan oleh platform Sportsfix termasuk K League Classic, Liga Super China, Liga Thailand dan Liga 1 Indonesia.

“Kami sangat teruja membawa semula bola sepak Itali kepada peminat di Malaysia dan tiga perlawanan akan disiarkan pada 19 November membabitkan pertemuan AS Roma menentang Lazio, Napoli bertemu AC Milan dan Sampdoria menentang Juventus,” kata Luer.

APF

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini