JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah mengeluarkan arahan supaya 12,000 anggotanya berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi gelombang kedua banjir, terutama di kawasan Pantai Timur.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, persediaan ini merangkumi pelbagai aspek termasuk peralatan yang akan digunakan serta menyemak segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan banjir.

“Tumpuan kita ketika ini adalah Pantai Timur kerana mengikut ramalan cuaca, gelombang kedua lebih kepada kawasan Pantai Timur, kemudian ke Selatan serta Sabah dan Sarawak.

“Pada masa sama, arahan pembekuan cuti kepada anggota akan dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan, buat masa ini mereka masih bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Taman Permainan Kanak-Kanak 2017: Pemakaian Standard Malaysia MS 966:2017 dan MS 2665:2017 di Putrajaya hari ini.

Wan Mohd Nor turut menasihatkan supaya orang ramai tidak terlalu panik dengan kemungkinan banjir yang berlaku di kawasan mereka kerana ia adalah fenomena biasa yang berlaku setiap tahun terutama pada November, Disember dan Januari.

Katanya, tiga bulan berkenaan adalah musim monsun, bermakna hujan lebih banyak dari hari lain sebelum ini.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai supaya membuat persiapan awal contohnya menyimpan dokumen penting dan barang berharga, malah apabila diminta berpindah, perlulah berpindah segera ke tempat yang sudah disediakan.

“Tidak perlu risau berkenaan perkara lain kerana tempat pemindahan sudah ditentukan dari awal dan segala aspek kebajikan makan minum akan dijaga dengan baik oleh pasukan yang bertugas di pusat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat juga sentiasa bersiap sedia bagi menyampaikan bantuan kepada orang ramai sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini