PENJAGA gol skuad kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menegaskan semangatnya tidak luntur meskipun dibolosi lapan gol pada dua perlawanan dalam tempoh empat hari.

Penjaga gawang Perak berkenaan mengakui episod di Buriram, Thailand itu harus menjadi mimpi ngeri buat mana-mana penjaga gol, namun percaya ia akan menjadi pengalaman berguna yang akan menguatkan dirinya mengharungi perlawanan pada masa akan datang.

Malah, dia menegaskan tidak timbul isu ‘serik’ untuk terus mewakili skuad Harimau Malaya kerana mengakui pengalaman yang diperoleh di pentas antarabangsa banyak membantu mematangkan lagi dirinya dan mengurangkan tekanan yang dihadapi ketika berada di atas padang.

“Keputusan yang tidak memberangsangkan ini sedikit sebanyak memberi saya peluang menilai kelemahan diri sendiri dan saya akui banyak lagi yang perlu saya belajar. Saya tidak akan berhenti setakat ini.

“Saya tidak akan menjadikan kekalahan ini sebagai penghalang kerana saya tahu saya perlu bangkit semula daripada kegagalan ini. Saya akan berusaha untuk tampil dengan persembahan yang lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Hafizul bersama skuad Harimau Malaya tiba dari Buriram, petang tadi selepas selesai mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara yang menyaksikan mereka dimalukan 4-1 dalam kedua-dua perlawanan terbabit.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan perjuangan skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 berkubur selepas sekadar menduduki tangga tercorot dengan meraih hanya satu mata daripada lima perlawanan.

Ia juga kekalahan keempat daripada lima aksi Kumpulan B yang menyaksikan anak buah Nelo Vingada tumbang 1-2 di tangan Lubnan serta tewas 0-2 kepada Hong Kong selain seri 1-1 dengan lawan sama untuk mata tunggal sepanjang pusingan kelayakan itu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini