PENGENDALI T-Team, Rahmad Darmawan mengakui terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu pasukan bimbingannya kemungkinan bakal ‘diturunkan’ beraksi dalam Liga Perdana sedangkan masih kekal di Liga Super musim depan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu berkata, dia sudah menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan mempertahankan maruah The Titans kekal bermain di Liga Super.

Pengendali kelahiran Metro, Lampung, Indonesia itu berkata, walaupun perkara itu sudah heboh diperkatakan, sehingga sekarang belum ada hitam putih mengesahkan T-Team akan beraksi dalam Liga Perdana.

“Keputusan ini memang mengejutkan semua pihak dan saya hanya mendapat tahu semalam melalui media. Sebagai ketua jurulatih, saya sudah buat yang terbaik dengan pertahankan maruah T-Team untuk kekal dalam Liga Super.

“Malah, saya juga sudah membuat perancangan cukup rapi untuk membentuk pasukan lebih mantap daripada segi pemain tempatan dan awang import musim depan,” katanya ketika ditemui di Pejabat T-Team, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya satu pasukan dari Terengganu akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengendali berusia 50 tahun itu tidak menolak kemungkinan akan pulang ke Indonesia jika T-Team tidak dapat diselamatkan dan beraksi di Liga Perdana musim depan.

Katanya, kontraknya bersama T-Team akan berakhir musim depan dan kini menunggu kata putus status pasukan ini sebelum membuat keputusan hala tujunya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini