BALING: Bekas sukarelawan polis yang berkhidmat ketika rundingan damai antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1955, kini terlantar lumpuh akibat serangan angin ahmar.

Sani Che Tam, 81, lumpuh sebelah badan sejak kira-kira empat bulan lalu dan kini bergantung harap kepada isteri, Timah Rejab, 80, untuk menguruskan hidup.

Timah berkata, suaminya tidak mampu mengurus diri akibat lumpuh dan terpaksa menggunakan saluran tiub untuk makan serta bergantung kepada penggunaan lampin pakai buang.

“Makcik sendiri tak sihat kerana ada masalah pendengaran dan selalu lupa kerana faktor usia. Mujur kami ada lapan anak yang membantu menjaga suami secara giliran, khususnya pada waktu malam.

“Suami makcik perlu jalani rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani. Nasib baik Pejabat Ahli Parlimen Baling ada sediakan ambulans percuma dari rumah ke hospital.

“Keperluan lampin pakai buang suami setiap bulan juga disediakan Pejabat Ahli Parlimen Baling,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Badak, dekat Weng di mukim Siong, dekat sini.

Terdahulu, Timah dan suami yang juga ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Pengkalan Hulu di Perak, menerima kunjungan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli.

Mengenai perkhidmatan Sani ketika zaman darurat, Timah berkata suaminya antara yang turut ditugaskan mengawal keselamatan semasa pertemuan bersejarah yang membabitkan pemimpin PKM, Chin Peng dengan pasukan kerajaan diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putera) pada Disember 1955.

“Sejarah itu tinggal kenangan dalam hidup suami dan dia memang sering bercerita suka duka ketika bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan zaman darurat kepada anak dan cucu.

“Makcik masih ingat pengorbanan suami yang menjadi anggota polis sukarelawan ketika zaman darurat untuk menjaga keselamatan negara.

“Walaupun tidak mendapat imbuhan sebanyak mana berbanding anggota pasukan keselamatan sekarang, semangat suami untuk menjaga negara terpahat dalam hati makcik,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Izrin berkata, JKM menyampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai dan barang makanan kepada bekas polis itu, selain membantu mendapat bantuan bulanan melalui kategori Bantuan Pesakit Terlantar.

“Kita akan beri bantuan selepas mengikut prosedur dan kelayakan kepada pesakit berkenaan. Memang dia layak untuk mendapat bantuan bagi menampung perbelanjaan harian seperti ubat dan keperluan lain, kerana sewaktu sihatnya dia bekerja kampung sebagai penoreh,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini