LELAKI Thailand berusia 35 tahun ditahan kerana memiliki sepucuk pistol dan lima butir peluru serta pelbagai jenis dadah di Kampung Temonyong, Langkawi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Polis, Dr Che Ghazali Che Awang berkata, pistol jenis Browning 9 mm automatik dan peluru hidup serta dadah itu ditemui dalam beg silang dibawa suspek ketika ditahan pada jam 12.01 tengah malam tadi.

“Terdahulu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan ketika berhenti di sebuah stesen untuk mengisi minyak keretanya.

“Terkejut melihat kehadiran polis suspek dilihat tergesa-gesa cuba melarikan diri, selain bertindak agresif namun berjaya ditahan anggota polis,” katanya pada sidang media di IPD Langkawi di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Mahani Mohamed.

Beliau berkata, polis percaya suspek seorang pengedar dadah yang aktif ekoran penemuan lima peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 212.0 gram (g), 24 peket syabu (87.0g) dan tiga peket ketamin (51.0g), keseluruhannya bernilai RM25,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kita juga masih menyiasat di mana pistol dan peluru itu diperolehi suspek dan tujuan apa dia memilikinya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan enam kali sebatan.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini